X

Kindly register in order to view this article
!

'Senaraikan Segambut dalam program saringan percuma Covid-19'

Hannah Yeoh
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memohon kawasan Segambut disenaraikan dalam program saringan percuma Covid-19 anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Hannah berkata, beliau menggesa saringan di kawasannya disegerakan susulan peningkatan kes di Kuala Lumpur termasuk Segambut serta terdapat kes baharu di Kampung Sungai Penchala.

Beliau meminta KWP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan kapasiti saringan dan juga meningkatkan penglibatan makmal swasta untuk mengurangkan 'backlog' (tunggakan) yang sedia ada.

"Ini akan mempercepatkan pemerolehan keputusan saringan supaya individu tersebut dapat diasingkan secepat mungkin dan diberikan sokongan yang sepatutnya.

"Selain itu ia juga dapat mengelakkan individu positif Covid-19 menjangkiti orang lain. Ramai tidak menyedari mereka sebenarnya telah dijangkiti Covid-19 memandangkan kebanyakan kes pada hari ini tidak mempunyai sebarang gejala," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, program saringan Covid-19 juga mesti menyenaraikan beberapa kawasan di Parlimen Segambut yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi termasuk penempatan warga asing.

"Jangan mengabaikan golongan warga asing dalam usaha melawan Covid-19 kerana virus ini tidak mendiskriminasikan kewarganegaraan, warna kulit, agama dan status kewangan seseorang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan besar-besaran di kawasan kepadatan, jumlah kes tinggi

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selepas melakukan tinjauan program saringan bersasar Covid-19 di Perumahan Awam Sri Sabah Bandar Tun Razak pada Sabtu dilaporkan berkata, program tersebut akan memberi keutamaan kepada kawasan kepadatan penduduk dan mempunyai jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi untuk menjalankan saringan secara besar-besaran.

Lokasi-lokasi lain termasuk 36 Projek Perumahan Rakyat atau Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala kampung-kampung tradisi sedang dikenal pasti bagi fasa saringan yang seterusnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!