Saringan besar-besaran di kawasan kepadatan, jumlah kes tinggi

Penduduk Perumahan Awam Sri Sabah ketika melakukan ujian saringan Covid-19 pada hari pertama Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Penduduk Perumahan Awam Sri Sabah ketika melakukan ujian saringan Covid-19 pada hari pertama Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memberi keutamaan kepada kawasan kepadatan penduduk dan mempunyai jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi untuk menjalankan saringan secara besar-besaran.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu bagi memastikan kawalan pencegahan awal dapat dilakukan secara menyeluruh kerana banyak kes positif Covid-19 yang dilaporkan berlaku kini tidak menunjukkan gejala atau tanda-tanda Covid-19.

"Usaha ini juga akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kebiasaannya saringan besar-besaran akan dilakukan apabila sesuatu tempat telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Pendekatan yang kami ambil ini sebelum PKPD, sekiranya ada 10 atau 15 kes kami terus jalankan operasi (saringan besar-besaran). Untuk fasa pertama ini kami sudah kenal pasti 15 kawasan perumahan,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Tun Razak di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu meninjau peringkat pertama saringan komuniti bersasar secara percuma menggunakan kaedah RTK (Rapid Test Kit Antigen) yang terhad kepada 300 penghuni sehari di Perumahan Awam Seri Sabah.

Annuar turut memaklumkan pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera bagi penduduk Putrajaya sudah mencapai 100 peratus manakala Kuala Lumpur 70 peratus dan Labuan pula 60 peratus.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan persidangan Parlimen secara hibrid dalam keadaan negara masih dilanda Covid-19, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengalukan-alukan langkah itu.

"Secara peribadi saya sebagai ahli Parlimen mengalu-alukan, menteri-menteri boleh bagi penjelasan secara teratur dan boleh dengar soalan tambahan asalkan persidangan itu jangan mengganggu proses proklamasi darurat iaitu keutamaan adalah memerangi Covid-19 ketika ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Annuar turut memaklumkan, beliau akan membuat pengumuman pada pertengahan minggu depan mengenai bantuan yang akan diberikan terutama kepada penjaja dan peniaga kecil yang terkesan dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh. - Bernama