Tiada istilah 'anak emas' dalam program RTG - Hannah

Hannah ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto Bernama
Hannah ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TIADA istilah ‘anak emas’ dalam program Road To Gold (RTG) yang dibentuk dalam usaha negara meraih emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau menegaskan semua atlet di bawah program berkenaan menerima layanan sama memandangkan mereka bakal menggalas misi menghadiahkan emas pertama buat Malaysia di temasya berprestij itu.

"Kita tidak ada anak emas tertentu dalam program RTG, semua atlet adalah anak emas. Kita bagi elaun yang sama RM3,000 sebulan kepada semua atlet berada dalam program ini.

"Servis ISN (Institut Sukan Negara) juga kita beri kepada mereka bagi memastikan mereka ada peluang untuk berjaya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat RTG pada Isnin.

Hannah berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan jawatankuasa RTG untuk mengekalkan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dalam program itu meskipun telah tergelincir daripada kedudukan ke-10 dunia berikutan aksi kurang memberangsangkan dipamerkannya.

Baru-baru ini, Zii Jia mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton bagi mendapatkan semula motivasi susulan prestasi merudum sejak akhir-akhir ini.

Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, keputusan mengekalkan pemain ke-11 dunia itu dibuat selepas mengambil kira mata kelayakan ke Olimpik dan saranan teknikal berdasarkan ranking Road to Paris.

Stuart berkata, RTG juga telah menerima cadangan untuk memasukkan seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke dalam program tersebut berdasarkan pencapaian di kejohanan terbaru yang mereka sertai.

Katanya, bagi kedudukan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-18 pula, mereka akan diberi masa sehingga September ini untuk membuktikan prestasi mereka.

Sementara itu, Stuart turut mengesahkan skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi ahli terbaru RTG sebagai persiapan mengharungi Sukan Asia 2023 September ini.

"Hoki akan menerima sokongan diperlukan ke temasya Sukan Asia yang merupakan medan kelayakan ke Olimpik Paris 2024,” katanya. - Bernama