Tindakan NTF tepat demi keselamatan perairan negara

Bot pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Aceh Timur, Indonesia pada Jumaat lepas. Gambar kecil: Salawati
Bot pelarian etnik Rohingya yang mendarat di Aceh Timur, Indonesia pada Jumaat lepas. Gambar kecil: Salawati
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tindakan National Task Force (NTF) memperketat kawalan sempadan negara susulan kehadiran pelarian etnik Rohingya di Aceh Timur, Indonesia pada 4 Jun lalu menunjukkan bahawa pasukan penguat kuasa itu tidak leka dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Pakar Undang-undang Antarabangsa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, ia juga selaras dengan keputusan kerajaan untuk menutup semua pintu sempadan antarabangsa bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, tindakan tegas yang diambil NTF itu tepat dan selari dengan usaha menyekat perairan negara daripada dibolosi oleh aktiviti penyeludupan termasuk kemasukan pelarian.

“Kita memang tahu kebanyakan yang datang (etnik Rohingya) memang masuk melalui sindiket penyeludupan manusia.

“Pada saya, tindakan NTF ini memang tepat sebab kita tahu pelarian Rohingya ini tidak mahu tinggal di Indonesia. Mereka hendak duduk di Malaysia.

“Tapi disebabkan dia (etnik Rohingya) tahu kawalan sempadan di Malaysia sekarang ketat disebabkan Covid-19, dia tidak mahu nampak sangat ingin ke Malaysia, lantas mendarat dahulu di Indonesia,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Salawati, taktik itu digunakan pelarian Rohingya kerana mereka tahu sekiranya terus menuju ke Malaysia, mereka akan dihalau balik ke perairan antarabangsa.

“Jadi, taktiknya mereka masuk dulu ke Aceh sebab orang Aceh memang akan simpati dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kita pernah ada kes pada tahun lepas yang mana mereka hendak datang ke Malaysia tetapi tidak mahu nampak ingin ke negara ini. Pada masa itu mereka beramai-ramai diselamatkan serta ditempatkan di kem pelarian di Sumatera, Indonesia tetapi selepas itu hilang.

“Kemanakah mereka? Pastinya sudah menyeludup masuk ke Malaysia. Jadi sebab itulah mereka gunakan taktik masuk dulu ke Indonesia ini,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawalan sempadan diperketat susulan pendaratan pelarian Rohingya

Ditanya mengenai tindakan beberapa pihak yang mengkritik tindakan Malaysia tidak membenarkan pelarian Rohingya memasuki negara ini terutamanya pada musim pandemik ini, beliau berkata, ia bukan satu kesalahan serta tidak melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, secara asasnya tiada keperluan untuk membenarkan etnik itu memasuki negara kerana Malaysia tidak menjadi anggota kepada Konvensyen Pelarian 1951.

“Apa yang kita lakukan sebelum ini (terima pelarian Rohingya) atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Bagaimanapun, Salawati berkata, dalam keadaan pandemik yang masih meruncing ketika ini, Malaysia perlu bertindak tegas bagi melindungi rakyatnya.

“Kita sendiri sedang bergelut dengan Covid-19 dan kita pun tidak tahu apa wabak yang mereka bawa kerana kita tahu pelarian sememangnya ada masalah kesihatan sepanjang masa,” kata beliau.

Dr Aminurraasyid
Dr Aminurraasyid

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal ehwal antarabangsa UUM , Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, kerajaan perlu mengetatkan sempadan negara bagi mengelakkan berlaku pencerobohan pelarian atau PATI ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga perlu dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan.

“Sindiket biasanya akan meletakkan sasaran menceroboh masuk secara runcit melalui bot-bot kecil dan kaedah lain yang mengelirukan.

“Ketegasan kerajaan dalam hal ini sangat diperlukan bagi memastikan tiada pencerobohan di sempadan negara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Ketika ini kerajaan masih menutup pintu sempadan antarabangsa dan tidak membenarkan kemasukan pelancong secara terbuka.

Dr Aminurraasyid berkata, kerajaan perlu memainkan peranan penting dengan melaksanakan tindakan secara kolektif bersama negara jiran seperti Indonesia dan Thailand seperti yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.

Katanya, pemimpin ASEAN perlu melaksanakan segera lima konsensus yang diwujudkan bagi menyelesaikan krisis di Myanmar.

“Antaranya, pelantikan utusan khas pemimpin ASEAN ke Myanmar untuk memudahkan proses dialog dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN perlu dipercepatkan,” ujarnya.