Enam nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Kesemua nelayan ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua nelayan ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
A
A
A

GEORGETOWN - Enam nelayan Indonesia diberkas selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing pada tengah hari Khamis.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dari Indonesia itu ditahan pada kedudukan 48.0 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 12.00 tengah hari.

"Bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

"Selain itu, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh enam nelayan termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pemeriksaan juga mendapati, semua nelayan asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan Malaysia.

"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

"Bot, kru serta 50 liter minyak diesel dirampas dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Tambah beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 untuk maklum balas segera bagi membuat aduan mengenai aktiviti jenayah dan insiden kecemasan di laut.