X

Kindly register in order to view this article
!

180 individu terima vaksin menerusi program outreach di Hulu Perak

A
A

IPOH - Seramai 180 individu di daerah Hulu Perak menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 bagi fasa kedua menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Sabtu.

JKN Perak dalam kenyataan memaklumkan, program di Dewan Merdeka Lenggong yang bermula sejak 8 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

"Program ini adalah sebagai satu daripada langkah JKN Perak untuk merancakkan program imunisasi di kawasan luar bandar agar berjalan lebih lancar dan golongan sasaran dalam fasa kedua ini mendapat manfaat yang sebaiknya," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Saarani menerusi sidang akhbar yang diadakan secara maya berkata, seramai 2,270 penerima yang memerlukan perkhidmatan capaian khas telah divaksin melalui inisiatif program outreach hingga 1 Jun lepas oleh kumpulan vaksinasi bergerak di rumah jagaan warga emas atau rumah jagaan khas.

Saarani berkata, urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta kawasan pedalaman juga akan dimulakan selepas ini.

Sementara itu, pemberian vaksin Covid-19 untuk masyarakat orang asli di daerah Perak Tengah pula mula dilaksanakan hari ini.

Kenyataan itu menyebut seramai 30 orang asli dari empat perkampungan iaitu Kampung Suak Padi, Tumbuh Hangat, Gedung Batu dan Sungai Perah dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Seri Iskandar menaiki bas dan van untuk divaksin.

"Mereka merupakan orang asli yang layak menerima vaksin Covid-19 bagi fasa kedua," menurut kenyataan itu.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan memberi keutamaan kepada golongan warga emas, OKU dan mereka yang berpenyakit kronik. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!