Setahun @ FELDA

Penulis: Datuk Seri Idris Jusoh ialah Pengerusi Felda
Penulis: Datuk Seri Idris Jusoh ialah Pengerusi Felda
A
A
A

Bulan Mei yang lepas genap setahun saya di Felda. Terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin Felda. Alhamdulillah, sedikit sebanyak saya berpeluang menimba dan menumpang mencari keberkatan di Felda.

Perubahan pemikiran

Tidak terfikir oleh saya bahawa peneroka mampu bersedekah sebanyak RM9.7 juta sehingga bulan Ramadan tahun ini. Kutipan sebanyak RM300 dari setiap peneroka dibuat melalui rancangan-rancangan dengan adanya program Sedekah300.

Ada rancangan yang berjaya mengutip lebih daripada RM300 dari setiap peneroka, dan ada rancangan yang mencapai kutipan melebihi seratus peratus. Alhamdulillah, peneroka sudah mula mengamalkan budaya memberi.

Peneroka mula faham bahawa tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah. Memberi adalah lebih mulia daripada menerima.

Jika ditanya apakah pencapaian yang paling menggembirakan saya semasa di Felda, saya katakan budaya sedekah adalah kejayaan utama peneroka Felda.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Budaya sedekah ini menggambarkan masyarakat peneroka telah mengubah pemikiran mereka. Jika dahulunya peneroka hanya sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan, kali ini peneroka berhijrah sikap untuk memberi.

Hasil kutipan sedekah ini telah diberi kepada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing di mana Felda berada untuk mereka manfaatkannya bagi mengembangkan lagi syiar Islam di negara kita.

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mendapat RM3.5 juta dari program ini, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), RM2.8 juta dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM1.3 juta. Begitu juga Majlis Agama Islam di negeri-negeri yang lain sebagaimana dalam jadual 1.

Kejayaan ke atas usaha perubahan ini adalah hasil kerjasama dan buah fikiran semua warga Felda. Dari Ahli-ahli lembaga pengarah, pengarah-pengarah jabatan di Menara Felda hinggalah di peringkat warga peneroka sendiri yang tidak putus-putus memberi pandangan dan berusaha merealisasikannya.

Ia juga didorong dan dibantu oleh Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil bersama ahli-ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), Kami Anak Felda (KAF) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM). Terima kasih kepada mereka semua.

Saya percaya budaya bersedekah ini akan meningkatkan lagi keberkatan ke atas usaha yang sedang dilaksanakan di Felda. Budaya ini pasti akan terus ditingkatkan lagi apabila terlancarnya Wakaf Felda dalam masa terdekat.

Sejak dari awal saya telah memberi tumpuan untuk mengubah pemikiran warga Felda. Mulai Jun 2020, semua Pengarah Wilayah (RGM) telah diberi latihan coaching oleh pelatih-pelatih NLP yang dibantu oleh Hj Mohd Taib Mat. Latihan kepada kepimpinan wilayah juga diteruskan dengan bantuan saudara Halim Jusoh. Kini, pemikiran warga Felda telah banyak berubah.

Tanah LLA & FGV

No Image Caption

FELDA telah menguasai 81 peratus saham FGV (bersama PAC). Ini merupakan peningkatan sebanyak 47 peratus pegangan saham Felda di FGV sejak Mei 2020.

Pegangan saham FGV oleh Felda sebelum MGO hanya 34 peratus. Harga saham FGV di pertengahan tahun 2020 hanya sekitar RM1.00 sesaham. Sekarang harga saham FGV telah melepasi RM1.30 sesaham.

Dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Wahid Omar (yang dilantik oleh kabinet), Felda telah diberi kepercayaan dengan suntikan Sukuk Berjaminan Kerajaan berjumlah RM9.9 bilion.

Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan kabinet atas kepercayaan dan kerjasama yang telah diberi. Juga terima kasih kepada Dato’ Seri Mustapa Mohamad iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang sentiasa berusaha bersama untuk membantu Felda.

Pegangan saham ini akan memastikan Felda mampu untuk mengambil kembali tanah LLA (Land Leased Agreement) yang telah dipajakkan kepada FGV semasa penyenaraian dahulu.

Sistem kewangan & pengurusan

No Image Caption

Saya juga merasa amat lega apabila Penyata Hutang Peneroka yang sudah hampir 20 tahun tidak pernah dimuktamadkan, selesai pada akhir bulan September tahun lalu. Ini bermakna peneroka akan mendapat penyata hutang mereka yang sudah lama mereka nanti-nantikan.

Saya juga percaya peneroka akan mendapat khabar gembira apabila langkah penjejasan penyata hutang mereka akan diumumkan oleh Perdana Menteri di Hari Peneroka pada 7 Julai nanti.

Penyataan hutang peneroka ini adalah gambaran bahawa sistem kewangan Felda juga sudah dapat dikawal dengan lebih rapi, tersusun dan lebih sistematik.

Alhamdulillah, sebelum ini penyata Kewangan Felda tahun 2019 telah selesai diaudit pada Februari 2021. Ini mengambil masa 14 bulan sebelum diaudit sepenuhnya.

Akan tetapi Penyata Kewangan 2020 pula telah selesai diaudit pada April 2021. Ini hanya mengambil masa empat bulan berbanding 14 bulan untuk tahun sebelumnya.

Insya-ALLAH, Penyata Kewangan Felda tahun ini akan dapat diaudit pada Februari tahun depan. Penambaikan sistem kewangan ini akan memastikan kawalan kewangan akan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Pertanian pintar & teknologi

Smart Plantation Management System (SPMS) akan mula digunakan pada akhir tahun ini. Bermula dengan Geospatial Information System (e-GIS) dengan penggunaan pemetaan digital dan imej setelit serta penggunaan drone, Felda kini sudah bergerak ke arah pertanian pintar.

Tambahan dengan penggunaan AI, IOT dan data analisis pertanian pintar akan menjadikan sistem Perladangan Felda sebagai pengamal teknologi IR4.0 dalam bidang pertanian.

Kepelbagaian usaha

Banyak lagi usaha sedang dilaksanakan seperti program PPP untuk meningkatkan pendapatan peneroka. Latihan keusahawanan sedang dipergiatkan. Semua 101 buah SMK di Felda telah dilengkapkan dengan Kelas Pintar (smart classroom).

Pengunaan mekanisasi telah dipertingkatkan. Penubuhan Felda Plantation Management ( FPM) akan menggabungkan pengurusan ladang sebagai satu sistem, satu operasi dan satu pasukan.

Usaha menyelesaikan isu pewarisan tanah telah hampir separuh selesai. Pendapatan hasil bumi juga diteliti untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan Felda.

Kedatangan Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besar baharu juga banyak membantu saya. Sebagai mantan Pengerusi dan Pegawai Eksekutif Kumpulan KPJ, beliau telah berjaya membentuk Felda dengan budaya korporat yang diperlukan.

Felda terulung di dunia

Pada awal permulaan saya setahun yang lalu, saya katakan Felda adalah lombong emas. Saya melihat banyak potensi yang ada pada Felda sebagaimana disanjung oleh Bank Dunia pada tahun 80-an dan menjadi kebanggaan negara.

Sekarang saya nampak lebih jauh. Saya nampak Felda sebagai organisasi terulung di dunia menjelang tahun 2040 nanti. Sebuah organisasi Fortune 500 yang terulung di dunia yang akan menjadi kebanggaan dan kesyukuran buat bangsaku dan negaraku Malaysia. Amin Ya Rabb!!!

#feldalombongemas

#fortune5002040