'Lockdown' ketat jangka pendek demi kebebasan jangka panjang

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan 'lockdown' jangka pendek yang ketat dapat melandaikan lekuk kes Covid-19 sekali gus dapat memberi peluang rakyat menikmati kebebasan jangka panjang.

Pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada guna untuk rakyat melalui banyak kali fasa 'lockdown' tetapi kes Covid-19 masih meningkat selain memberi kesan teruk kepada ekonomi pada jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun turut mencadangkan bantuan yang perlu diberikan kepada rakyat berdasarkan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Pertama sekali saya telah mendesak kerajaan memberikan moratorium automatik. Saya tidak faham mengapa agak sukar khususnya apabila darurat diisytiharkan untuk kita pastikan dan memujuk bank-bank besar untuk memberikan moratorium automatik.

"Kalau kita lihat keuntungan CIMB pada suku pertama tahun ini jika hendak dibandingkan dengan suku pertama tahun lepas meningkat 384 peratus, Hong Leong naik 44 peratus, Maybank naik 26 peratus, Public Bank naik 15 peratus, RHB naik 14 peratus.

"Ini keuntungan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika hendak dibandingkan dengan keuntungan pada suku pertama tahun lepas di mana Covid-19 belum lagi meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-262 bertajuk ‘Cabaran Covid-19 #KitaLaluiBersama' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis malam.

Wacana turut menampilkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga sebagai panelis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Saddiq mempersoalkan kerajaan tidak menggunakan kuasa ke atas bank yang sudah mendapat keuntungan luar biasa supaya rakyat menikmati faedahnya.

"Yang kedua, saya juga faham kerajaan terhad dari segi kewangan untuk diberikan kepada rakyat tetapi saya telah memberikan cadangan dan ini adalah masa kerajaan dan pembangkang duduk semeja mencari penyelesaian bersama.

"Sebab itu semasa persidangan Parlimen yang lepas saya bangkitkan keperluan untuk (kenakan) cukai keuntungan luar biasa dan jika kita lihat laporan (dikeluarkan) semalam sekali lagi menunjukkan keuntungan atau saham golongan bilionair naik 14 peratus, ini semasa Covid-19.

"Tetapi kenapa kita tidak ada iltizam politik untuk kenakan cukai luar biasa ini supaya akhirnya duit cukai itu dapat dimanfaatkan oleh rakyat untuk membeli vaksin, untuk pastikan rakyat dapat 'cash hand up' dan keperluan," katanya.