Kedah tawar moratorium kepada penyewa premis kerajaan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menawarkan moratorium selama sebulan kepada penyewa premis kerajaan sama ada premis perniagaan atau kediaman bagi meringankan beban penduduk yang terjejas, apabila sekatan pergerakan penuh dikuat kuasa bermula Selasa hingga 14 Jun ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyewa premis terbabit akan mendapat penangguhan bayaran selama sebulan pada Jun.

Menurutnya, pemberian moratorium itu dijangka memberi implikasi kewangan sebanyak RM500,000 kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga dijangka kehilangan hasil sebanyak RM10.8 juta selama dua minggu apabila kaunter-kaunter utama yang membuat kutipan hasil negeri ditutup. Semua perbelanjaan serta kehilangan hasil dianggarkan RM11.64 juta,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco khas pada Isnin.

Muhammad Sanusi turut mengumumkan pinjaman tanpa faedah diberikan kepada peniaga-peniaga kecil dengan jumlah maksimum sebanyak RM5,000.

“Bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di seluruh negeri ini akan terus diagihkan menerusi 12 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.89 juta untuk penyediaan bakul makanan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 15,000 bakul makanan akan disediakan iaitu 9,000 daripadanya adalah daripada kerajaan negeri manakala 6,000 lagi inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

"Setiap PKOB juga akan diberikan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi membekalkan barang keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas kepada ahli keluarga yang sakit.

"Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut menyerahkan bantuan beras untuk diagihkan oleh petugas PKOB dalam menyelaraskan bantuan bagi menghadkan pergerakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi menasihatkan orang ramai yang berkemampuan atau tidak terjejas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh agar bersikap jujur dan tidak mengambil kesempatan terhadap bantuan yang disalurkan.

“Bantuan itu adalah untuk keluarga yang benar-benar terjejas dan tidak lagi mempunyai simpanan untuk dibelanjakan. Harap rakyat Kedah jujur dan beri keutamaan kepada keluarga yang benar-benar kesulitan,” katanya.