Istilah dalam kitab suci Quran

No Image Caption
A
A
A

BAGI mereka yang berminat untuk memahami istilah Quran, kemudahan dalam bentuk kamus digital dan kamus salinan keras menjadi sumber yang cukup menyeronokkan.

Saya sendiri menggunakan pelbagai mu‘jam atau kamus Arab-Arab, Arab-Inggeris, Inggeris-Arab dan sudah tentu Arab-Melayu serta Melayu-Arab.

Sebuah kamus yang digunakan oleh tim pentafsir dan penterjemah Al-Quran Amazing (Shah Alam: Karya Bestari 2017) ialah leksikon unik yang berjudul Mu‘jam al-Mufradat al-Faz al-Qur’an yang diterbitkan pada tahun 1431 H/2010 M karya Husain Muhammad al-Raghib al-Isfahani. Sebuah lagi buku karangan penulis yang sama ialah al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an. Alim kurun ke-11 Masihi ini ialah seorang ahli leksikon Arab, etika Islam serta tafsir Quran yang terkenal dalam kalangan pengikut sunni dan juga syiah. Beliau dilahirkan sebagai seorang sunni di Isfahan, Iran.

Berikut adalah lima istilah didapati dalam Quran yang disyarahkan beliau.

Al-Fathu bererti menghilangkan atau membuka sesuatu yang tertutup, ataupun membuka jalan keluar daripada suatu masalah. Pengertiannya yang pertama dapat dilihat dengan mata biasa seperti membuka pintu, barang lain dan sebagainya.

Pengertian kedua pula ialah menghilangkan kegundahan dan ini membawa dua makna pula. Pertama berkaitan dengan urusan duniawi seperti kesulitan atau kemiskinan hidup yang dihilangkan. Kedua pula berkaitan dengan pembukaan pintu ilmu yang selama ini tertutup rapat. Daripada perkataan ini muncullah banyak misalan seperti Fath Makkah (Pembukaan Makkah) dan Muhammad al-Fatih (Muhammad Sang Pembuka).

Al-hajru dan al-hijranu ialah berpisahnya seseorang daripada orang lain. Perpisahan ini berlaku dalam tiga bentuk, yakni badan, lisan dan qalbu. Daripada kata ini muncullah kata al-muhajarah yang bererti meninggalkan orang lain. Namun dalam Quran maksudnya ialah berhijrah atau meninggalkan negeri kafir menuju negeri kaum mukminin, seperti orang-orang yang berhijrah dan meninggalkan Makkah menuju ke Madinah. Al-hijrah juga membawa maksud meninggalkan syahwat, akhlak yang buruk, dan dosa. Al-hujru bererti kata-kata buruk yang ditinggalkan kerana keburukannya.

Alhamdulillah ta‘ala merupakan pujian kepada ALLAH atas keutamaan-Nya. Namun kata al-hamdu lebih khusus daripada sekadar pujian biasa (al-madhu) dan lebih umum daripada syukur. Syukur tidak diungkapkan kecuali saat menerima suatu nikmat. Setiap syukur itu adalah hamdun (puja-puji) tetapi tidak setiap hamdun itu syukur. Apabila dikatakan si fulan itu Mahmud maka ia adalah orang yang dipuji. Bagi orang yang disebut sebagai Muhammadun pula, ini bermakna ia memiliki banyak sifat yang patut dipuji.

Artikel Berkaitan:

Az-zahabu ertinya berlalu dan pergi. Misalan penggunaannya ialah seseorang itu pergi membawa sesuatu dan menghilangkan sesuatu. Kata ini digunakan baik dalam makna menghilangkan suatu benda yang terlihat mahupun menghilangkan sesuatu yang bersifat maknawi. Mari kita fikirkan beberapa misalan firman ALLAH SWT dalam Quran.

“Dan Ibrahim berkata, “Sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku”. (As-Saffat 37:99) “Maka tatkala rasa takut telah hilang (zahaba) daripada Ibrahim.” (Hud 11:74) “Tidakkah kamu melihat sesungguhnya ALLAH telah menciptakan langit dan bumi dengan kebenaraan; jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru.” (Ibrahim 14:19).

Al-farju dan al-fujratu bererti belahan di antara dua benda, seperti belahan (retakan) pada dinding. Al-farju juga difahami sebagai celah yang ada di antara dua kaki. Maka kemudian istilah ini digunakan untuk menyebut aurat. Al-faraju juga diertikan sebagai proses terbukanya jalan keluar daripada sesuatu masalah.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat