'Rakyat tuntut kata-kata PM diterjemah dalam bentuk tindakan nyata'

Mohammad Fazril
Mohammad Fazril
A
A
A

SHAH ALAM - Prinsip dan amalan tata kelola yang baik (good governance) adalah wajib untuk diamal dan dilaksanakan dalam pentadbiran sesebuah negara.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, ia bukan lagi harus menjadi satu retorik, tetapi rakyat menuntut pelaksanaannya.

"Rakyat kini menuntut kata-kata Perdana Menteri itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, bukan lagi retorik, apatah lagi menjelang satu tahun pentadbiran eksekutif di bawah pimpinan beliau," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Anwar sebelum ini kerap kali menzahirkan komitmen untuk membanteras rasuah di negara ini, terbaharu Anwar sekali lagi menegaskan agenda untuk meningkatkan tata kelola di negara ini akan diteruskan dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran.

Tegas Anwar, tata kelola juga merupakan faktor penting untuk menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu ditekankan semasa pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan, petang Rabu.

Tambah Fazril sudah pasti agenda tata kelola yang baik memerlukan kepemimpinan yang kuat, adil dan tegas bagi memastikan ia dapat direalisasikan di lapangan.

"Negara kita sudah pun mempunyai pelbagai institusi dan agensi yang sewajarnya membantu ke arah meningkatkan tata kelola, seterusnya menangani permasalahan ketirisan dan salahguna kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuklah inisiatif mutakhir oleh kerajaan dengan kelulusan di Parlimen, Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (Akta 822), yang membawa kepada penubuhan institusi ini yang berperanan menyelaras dan bekerjasama dalam operasi bersepadu dengan agenda penguatkuasa dalam perkara berkaitan jenayah kewangan," katanya.

Tegasnya, negara kehilangan berbilion ringgit akibat perbuatan jenayah kewangan berkaitan pengelakan cukai dan duti kastam, penyeludupan barangan seperti rokok dan minuman keras, penyalahgunaan subsidi seperti gas petroleum cecair (LPG), diesel dan minyak masak serta penyalahgunaan insentif cukai di zon bebas cukai.

"Ini belum lagi hal-hal menyangkut ketirisan yang disebabkan amalan kronisme dan 'favouritism', pecah amanah dan salah guna kuasa, yang seringkali menjadi "permainan" ahli politik dan pegawai pangkat tinggi, justeru prinsip perjuangan tata kelola ini perlu dilaksanakan," katanya.