Al-Quran Al-Imam mudahkan pembaca

Ahmad Yani menunjukkan Al-Quran Al-Imam yang dijual di Karangkraf Mall.
Ahmad Yani menunjukkan Al-Quran Al-Imam yang dijual di Karangkraf Mall.
A
A
A

SHAH ALAM - Inovasi yang diterapkan dalam Al-Quran Al-Imam terbitan Karya Bestari bukan sahaja membantu masyarakat membaca al-Quran dengan lebih mudah dan betul malah menggalakkan mihrab atau ruang solat khusus di rumah sebagai tempat untuk keluarga berjemaah.

Pengurus Hal Ehwal Agama dan Penerbitan Al-Quran Kumpulan Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, Al-Quran Al-Imam dilengkapi dengan tajwid berwarna sebagai panduan waqaf (memberhentikan bacaan) dan ibtida’ (memulakan bacaan) selain menampilkan tulisan yang lebih besar iaitu bersaiz B4.

“Ciri-ciri khas yang ditampilkan dalam Al-Quran Al-Imam boleh dimanfaatkan oleh imam masjid dan surau serta menggalakkan mihrab di rumah. Kalau tulisan khatnya kecil mungkin menyukarkan mereka untuk melihat ayat al-Quran ketika berjemaah.

“Selain itu, kalam ALLAH yang bercetak besar membolehkan warga emas belajar dan membaca dengan lebih baik apatah lagi terdapat tajwid berwarna yang boleh dijadikan panduan. Ini kerana adab membaca al-Quran perlulah dijaga dengan memastikan setiap bacaan perlu teratur dan betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Ahmad Yani, orang ramai boleh mendapatkan Al-Quran Al-Imam di platform atas talian Karangkraf Mall atau di semua kedai buku dengan harga RM99 senaskhah.

Ahmad Yani
Ahmad Yani

“Kami pasti dengan harga yang ditawarkan, pembeli akan berpuas hati. Al-Quran Karya Bestari terkenal dengan harga murah dan berkualiti tinggi. Sememangnya tujuan utama Karangkraf terlibat dengan penerbitan al-Quran adalah bagi membantu orang ramai untuk mempelajarinya.

“Sasaran kami setiap rumah ada satu al-Quran. Untuk faham agama, ditinggalkan kepada kita dua pusaka iaitu al-Quran dan hadis,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pembeli, Muhammad Naufal Hamzi Zulkafli, 32, turut mencadangkan agar orang ramai membeli Al-Quran Al-Imam untuk memudahkan mereka mempelajari kalam ALLAH dengan lebih cepat dan mudah.

Muhammad Naufal
Muhammad Naufal

“Sebelum ini saya ada mencari al-Quran yang sesuai untuk dijadikan bahan mengajar mengikut kesesuaian pelajar terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Masa itu, saya jumpa Al-Quran Al-Imam dan terus membelinya, ada juga jemaah masjid bertanyakan al-Quran ini kerana mudah dibaca terutamanya bagi golongan yang sudah berumur,” jelasnya.

Menurut Muhammad Naufal, dua warna iaitu merah dan hijau yang diketengahkan dalam Al-Quran Al-Imam tidak mengelirukan pembaca.

“Senang mahu baca, kita tengok sahaja warnanya sama ada perlu diteruskan atau berhenti.

“Lagipun, hanya dua warna (waqaf dan ibtida’), ia tidak keliru dan mudah untuk belajar,” ujarnya.