Pasar raya terkawal, orang ramai tidak beratur panjang

Keadaan sebuah pasar raya di Petaling Jaya yang dilihat tenang dan tiada pembelian panik.
Keadaan sebuah pasar raya di Petaling Jaya yang dilihat tenang dan tiada pembelian panik.
A
A
A

PETALING JAYA - Beberapa pasar raya di sini masih terkawal dan orang ramai membeli barangan keperluan seperti biasa selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan 'total lockdown' selama 14 hari bermula Selasa.

Orang ramai yang ditemui ketika Tinjauan Sinar Harian memberitahu mereka mendapatkan barangan harian seperti kebiasaannya pada hujung minggu.

Seorang pekerja swasta, Muhammad Fazli Ahmad, 47, berkata, dia dan isteri, Noor Aida Mat Daud, 47, membeli barangan keperluan asas dalam kuantiti sederhana.

Menurut Muhammad Fazli, antara barangan penting ialah beras, minyak masak dan roti dan mereka juga tidak beratur panjang untuk membuat pembayaran.

"Memang menjadi rutin kami keluar membeli barang keperluan dua minggu sekali. Pelaksanaan 'lockdown' ini menjadikan kami sudah bersedia," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun tambah Muhammad Fazli, tiada persiapan khas dilakukan kerana pihak berkuasa sudah memaklumkan pasar raya serta kedai runcit boleh beroperasi dan barangan juga mencukupi.

Bagi penjawat awam, Nurul Hawati Ismail, 40, pula mengakui tidak bimbang untuk menghadapi 'lockdown' kerana yakin barangan keperluan sentiasa mencukupi.

"Jika orang ramai tidak melakukan pembelian panik saya percaya bekalan keperluan terus mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Hawati (kiri) yakin bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang 'lockdown'.
Nurul Hawati (kiri) yakin bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang 'lockdown'.

Pereka grafik, Zulfadli Kamarrudin, 40, juga berpuas hati dengan bekalan barangan keperluan asas di pasar raya yang dikunjungi

Katanya, barangan yang diperlukan pengguna masih banyak jika dibandingkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

"Saya tidak bimbang kerana saya lihat pasar raya ini menyediakan keperluan yang mencukupi," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil serta mencukupi sepertimana pengalaman PKP tahun lalu yang tidak merekodkan sebarang kes terputus bekalan barangan keperluan asas.