Malaysia bukan negara sekular mahupun negara Islam

Dari kiri atas: Anas; Shad Saleem dan Perunding Pendidikan, Jonson Chong
Dari kiri atas: Anas; Shad Saleem dan Perunding Pendidikan, Jonson Chong
A
A
A

SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan sebarang ketetapan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam ataupun negara yang sepenuhnya sekular, kata pakar perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata, perdebatan mengenai kedua-dua label tersebut adalah tidak bersandarkan kepada realiti bahawa perlembagaan negara merupakan sebuah perundangan yang bersifat plural dan hibrid.

“Pandangan peribadi saya adalah Perlembagaan Malaysia tidaklah bersifat teokratik (pemerintahan agama) dan ia tidak juga sepenuhnya sekular.

“Kenapa saya cakap macam itu. Ia tidak teokratik kerana Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

“Isu mengenai kedudukan Perkara 4(1) tersebut dapat dilihat dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya pada tahun 1988,” katanya ketika memberikan ceramah secara maya dalam program bertajuk Pembinaan Perlembagaan Malaysia pada Khamis.

Ceramah yang dimoderatorkan oleh penulis dan blogger, Anas Zubedy itu merupakan sebahagian daripada siri ceramah politik Malaysia dan isu awam anjuran bersama oleh Sekolah Seni Liberal dan Sains Universiti Taylor dan zubedy's Unity and Harmony Mediators Movement (Mediators).

Mengulas lanjut, Shad berkata, dalam kes tersebut, keputusan Mahkamah Agung yang terdiri daripada lima panel hakim dan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas ketika itu memutuskan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama manakala agama Islam pula bukan undang-undang asas dalam negara.

“Jadi Perkara 4(1) adalah jelas merupakan undang-undang utama dan Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan perlu dibaca sekali dengan Perkara 3(4).

Artikel Berkaitan:

“Dalam perkara 3(4), ia menyatakan tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Shad berkata, untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara sekular adalah sesuatu yang tidak benar kerana kesemua masyarakat Islam di Malaysia yang juga merupakan rakyat majoriti tertakluk kepada undang-undang syariah.

“Ada individu yang boleh ditangkap kerana berkhalwat kerana berdua-duaan di dalam satu bilik dan boleh dibawa ke mahkamah untuk dikenakan denda atau penjara. Perkara itu tidak berlaku di sebuah negara sekular.

“Umat Islam juga wajib mematuhi lebih kurang 25 perkara yang berada di bawah undang-undang syariah. Jadi kita adalah negara yang mengamalkan perundangan bersifat plural,” ujarnya.

Shad menambah, perdebatan mengenai sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu mentafsirkan istilah sekular.

“Jika sekular itu dimaksudkan sebagai tiadanya nilai ataupun doktrin agama yang dikenakan oleh kerajaan terhadap rakyat, jadi adalah jelas bahawa kita bukan negara sekular kerana 61.5 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam tertakluk di bawah undang-undang syariah,” katanya.

Sementara itu Shad berkata, beliau berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah pun memiliki elemen yang seimbang dan mampu menampung kepelbagaian dalam negara di samping turut mengakui ciri-ciri asli nusantara, majoriti Melayu dan keperluan rakyat bukan Melayu.

“Perlembagaan adalah dokumen yang sudah sedia mencukupi untuk mencapai masyarakat yang adil dan saksama. Ia adalah soal bagaimana bukan sahaja hakim, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia untuk mentafsir dokumen tersebut.

“Perlu diingatkan, 90 peratus konflik yang berlaku dalam negara tidak berakhir di mahkamah kerana ia boleh berlaku sama ada di pejabat kerajaan, balai polis dan sekolah. Jadi adalah tanggungjawab semua termasuk pekerja kerajaan, polis, guru dan sebagainya.

“Jika ada guru contohnya yang bersikap rasis dengan menyuruh muridnya yang berlainan agama untuk makan di tandas ketika bulan puasa, dia adalah rakyat Malaysia yang tidak mengikut semangat Perlembagaan,” tegas beliau.