TFC, TFC II dapat lampu hijau

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) dan TFC II menjadi dua kelab Liga Malaysia (Liga-M) pertama memperoleh kebenaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menjalani latihan secara camp based training semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kedua-dua kelab dijadualkan berkumpul di Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail, Kuala Terengganu bermula Isnin sehingga tempoh yang akan ditentukan kelak berdasarkan tempoh PKP ditetapkan kerajaan, demikian menurut kenyataan MFL

“Latihan secara fizikal amat penting agar pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan selepas dua minggu berehat kerana Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) hanya tinggal sebulan sahaja buat kami bagi lakukan persiapan,” kata ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Mohd Zain dalam kenyataan itu.

Perkembangan itu menyaksikan sebanyak 21 kelab bertanding belum diberikan kebenaran tersebut selepas MFL pada Rabu lalu memutuskan untuk memansuhkan kaedah latihan secara home based training.

Saingan Liga-M kini berehat seketika bagi memberi laluan kepada perlawanan melibatkan skuad kebangsaan dan kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia serta Piala AFC pada Jun.

Kempen Liga Super dijadualkan bersambung semula pada 9 Julai manakala aksi Liga Premier kembali lebih awal pada 18 Jun.

Sementara itu, Mohd Nafuzi memberi jaminan akan memastikan barisan pemain serta pegawai pasukan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengelakkan daripada kebenaran menjalani latihan tersebut ditarik balik.

“Saya yakin pemain boleh berdisiplin dalam soal ini memandangkan SOP kali ini lebih ketat demi keselamatan semua pemain serta pegawai berikutan kes Covid yang semakin tinggi,” kata Mohd Nafuzi. - Bernama

Artikel Berkaitan: