Pemuda Pas gesa kerajaan tangani operasi judi tanpa lesen

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa kerajaan agar meningkatkan penguatkuasaan dalam menangani operasi perjudian tanpa lesen.

Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, operasi judi tanpa lesen bukan sahaja salah di sisi agama Islam, malah tidak membawa sebarang manfaat.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 dan ekonomi tidak menentu ketika ini juga, sektor perjudian dan premis kasino seperti ini juga langsung tidak membantu terhadap motivasi kerohanian dan tekanan mental serta keharmonian rakyat, apatah lagi terhadap poket peribadi dan keluarga, sebaliknya mengundang lebih banyak masalah.

“Kuasa kerajaan mesti digunakan untuk meningkatkan penguatkuasaan menangani kegiatan perjudian tanpa lesen.

“Malah, kerajaan perlu menghentikan juga cabutan loteri atau judi untuk tujuan kebajikan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Khairil Nizam yang merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha intensif untuk menutup terus operasi premis tersebut dari muka bumi mesti diusahakan dari sekarang.

“Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara namun kami berpendapat ia bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam dan hanya akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

“Antara usaha ke depan yang lebih kukuh adalah mengadakan undang-undang lebih ketat di mana menjamin tiada keterlibatan sama sekali orang Islam dalam kegiatan dan operasi ini.

Artikel Berkaitan:

“Malah, ke atas orang bukan-Islam pun kebenaran hanya diberi dalam had keluarga atau majlis perayaan tertentu sahaja,” ujarnya.

Pada 7 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan penutupan serta-merta premis kasino Genting Highlands