Sejam sudah mencukupi: Mydin

Pelanggan digalak membuat senarai awal barangan yang ingin dibeli supaya dapat meminimumkan masa ketika berada di pasar raya.
Pelanggan digalak membuat senarai awal barangan yang ingin dibeli supaya dapat meminimumkan masa ketika berada di pasar raya.
A
A
A

SHAH ALAM - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyifatkan tempoh masa pelanggan dibenarkan untuk berada dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam terlalu panjang.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, baginya tempoh sejam sudah lebih daripada mencukupi untuk pelanggan membeli barangan perlu atau benar-benar penting.

Beliau berkata, dalam tempoh genting ini bukan masa yang sesuai untuk individu memasuki pasar raya atau pusat beli-belah untuk berjalan-jalan.

“Pandangan saya, pada masa sekarang memang Covid-19 sudah betul-betul teruk. Jadi cadangan menteri (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk dua jam saya rasa panjang sangat.

“Sebetulnya, pergi beli barang-barang perlu sahaja bukan pergi membeli belah. Jadi kita boleh pergi dan balik dengan secepat mungkin.

“Sekarang kita hendak semua orang duduk di rumah untuk dua tiga minggu supaya kita dapat putuskan rantaian wabak ini kerana kita tidak sanggup lagi dengar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung untuk selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuat kuasa Selasa.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, pelanggan digalak membuat senarai awal barangan yang ingin dibeli supaya dapat meminimumkan masa ketika berada di pasar raya.

Artikel Berkaitan:

“Selain dapat mengelakkan masa berada di dalam pasar raya lebih lama, kaedah ini juga baik supaya barang yang ingin dibeli mencukupi,” kata beliau.

Beliau berkata lagi, meskipun secara dasarnya sebagai peniaga, pihaknya meletakkan keuntungan sebagai aspek penting, namun dalam keadaan sekarang kesihatan dan memutuskan rantaian wabak yang boleh membawa maut itu lebih mustahak.

“Walaupun dari segi peniaga kita akan rugi tetapi saya rasa semua peniaga sudah tidak boleh tahan dengan PKP.

“Kita setuju (patuhi arahan) dengan apa yang kita buat sekarang.

“Jadi baik kita buat sesuatu untuk hentikan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Lotuss Store (Malaysia) Sdn Bhd ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terbaharu itu kemudian.

Lotuss Store yang dahulunya dikenali sebagai Tesco juga akan sentiasa mengemas kini SOP terus kepada pelanggan melalui akaun Facebook pihaknya.