X

Kindly register in order to view this article
!

'Belajarlah dari negara yang berjaya bendung Covid-19'

Gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsudin
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu belajar daripada negara-negara yang berjaya membendung penularan Covid-19 dengan baik supaya situasi pandemik lebih buruk tidak berlaku di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Australia dan New Zealand merupakan antara negara yang berjaya mengawal Covid-19 di mana lebih memfokuskan kepada pentingnya menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik peribadi serta populariti.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil langkah segera berikutan penularan Covid-19 di negara ini semakin membimbangkan.

Lebih membimbangkan, katanya, kini wujud pula varian-varian baharu di negara ini ini.

"Kemunculan varian-varian berkenaan sukar dikesan kerana hasil saringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap yang serius," katanya menerusi Facebook beliau pada Ahad.

Mohd Sharkar yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang berkata, kerajaan juga perlu serius mengenal pasti punca arian-varian baharu itu sama ada daripada kluster ibadah, tempat kerja dan sebagainya.

"Sepatutnya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan darurat kesihatan, situasi Covid-19 di negara ini semakin baik, namun sebaliknya berlaku," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu fokus terhadap masalah utama rakyat iaitu nyawa dan kesihatan dengan mengetepikan soal lain terlebih dahulu.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu bersungguh-sungguh dalam mendidik rakyat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi mencegah penularan wabak ini.

"Jangan membuat keputusan yang mengelirukan rakyat, sebaliknya perlu serius dan bertegas dalam pelaksanaannya," kata beliau.

Selain itu, katanya, rakyat juga perlu ditekankan dengan kepentingan mengambil vaksin sebagai salah satu langkah untuk mengelak peningkatan kes setiap hari, sekali gus mengurangkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!