Armizan yakin tidak berlaku kekosongan 4 kerusi Parlimen Sabah

Armizan ketika ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di SICC Kota Kinabalu.
Armizan ketika ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen walaupun terdapat tindakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memohon kebenaran mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bagi mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) tidak terkejut dengan tindakan pihak Bersatu itu kerana ia adalah tindakan pihak tertentu yang tidak mahu melihat adanya gerakan parti tempatan di negeri ini.

"Saya tidak fikir ada kekosongan kerusi, apa pun kita kena hormati sistem kehakiman kita dan bila ada pihak tertentu yang membawanya ke mahkamah maka kita kena hormati dan patuhi walaupun telah diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat.

"Tidak juga (terkejut), sebab saya rasa ini mungkin antara tindakan pihak tertentu yang tidak ingin melihat satu gerakan parti lokal di Sabah dan usaha untuk mengagalkan gerakan rakyat Sabah yang bergerak atas satu landasan politik citra tempatan, jadi ini antara usaha pihak tertentu," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Johari mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Matbali ketika ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di SICC Kota Kinabalu.
Matbali ketika ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di SICC Kota Kinabalu.

Beliau sebelum itu ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta penjelasan jika ada perbezaan atau persamaan empat ahli Parlimen bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga seorang lagi ahli Parlimen bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Saya fikir secara ringkasnya, kita perlu bertanya orang yang membawanya ke mahkamah perkara ini, kenapa dia bertanding atas tiket PN dan kenapa kami bertanding atas tiket GRS.

"Sama atau berbeza? Jadi itu antara perkara saya fikirkan perlu diperjelaskan. Jadi sama-sama kita tunggu pihak mahkamah yang putuskan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyatakan pihaknya tiada masalah mengenai tindakan Bersatu dan menyerahkanya kepada mahkamah untuk menentukannya.

"Walaupun telah diputuskan oleh Speaker mengenai status kami tetapi mereka ulang kembali. Kita tiada masalah, kita serahkan kepada perundangan.

"Kalau ada keputusan, kita akan maklumkan nanti," katanya.

Bersatu sebelum ini membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman dan difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam pertubuhan parti itu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 April lalu.

Parti itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Johari serta empat ahli Parlimen terlibat iaitu Armizan, Matbali, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) sebagai responden pertama hingga kelima.