MCMC cari kaedah baharu percepat proses permohonan lesen

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kaedah baharu bagi mempercepat proses permohonan lesen dan perkara berkaitan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pihaknya sedar akan kewujudan beberapa isu mengenai pengeluaran lesen khususnya, dan mahu perkara tersebut dinaik taraf.

“Kalau boleh kita nak percepatkan proses itu menerusi pendigitalan. Dalam era digital kita boleh lakukan permohonan tanpa kertas, ini yang MCMC sedang perhatikan dan saya harap dalam masa terdekat kita akan umumkan kaedah baharu yang boleh mengatasi masalah ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta kementerian memudahkan kelulusan lesen ‘Apparatus Assignment’ untuk pemasangan rangkaian komunikasi di premis yang didakwanya mengambil masa tujuh hingga 21 hari untuk diluluskan.

Menjawab soalan asal Abdul Latiff mengenai langkah yang diambil kementerian bagi meningkatkan taraf capaian telekomunikasi dan Internet di kawasan hospital baharu di Kuala Krai, Gobind berkata sehingga kini sebanyak 32 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi di Parlimen Kuala Krai menerusi inisiatif Peluasan Liputan Selular dan Jalur Lebar Mudah Alih.
Artikel Berkaitan:


“Ia termasuk pembinaan dua menara di sekitar hospital baharu Kuala Krai,” katanya menambah sebanyak 10 menara lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Gobind berkata sebanyak 70 menara sedia ada di kawasan parlimen itu termasuk satu di sekitar hospital baharu telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G/4G manakala 11 lagi dalam peringkat penaiktarafan.

Katanya kawasan parlimen itu juga bakal menikmati kemudahan jalur lebar tetap dengan kelajuan sehingga 20 megabait sesaat menerusi projek Jalur Lebar Pinggir Bandar apabila ibu sawat yang sedang diusahakan di situ siap pada penghujung 2019. - Bernama