Selidik dahulu latar belakang persatuan sebelum hulurkan derma

Nadir Al Nuri bersiaran secara langsung menerusi Wacana Sinar siri ke-258 bertajuk 'Israel Negara Apartied?' menerusi di platform dalam talian Sinar Harian pada Khamis.
Nadir Al Nuri bersiaran secara langsung menerusi Wacana Sinar siri ke-258 bertajuk 'Israel Negara Apartied?' menerusi di platform dalam talian Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diminta untuk mengkaji terlebih dahulu latar belakang persatuan yang mengutip dana bagi membantu rakyat di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri berkata, penyumbang perlu mengkaji dengan lebih mendalam seperti menyemak akaun media sosial persatuan terbabit secara terperinci.

Menurutnya, ramai pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Palestin untuk kepentingan peribadi mereka.

“Nama Palestin ialah nama yang sangat mudah untuk ditunggang sebab sebut sahaja Palestin, mesti ramai orang akan bagi bantuan.

“Di peringkat penyumbang, kita kena tahu kepada siapa kita menyumbang. Ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tak pernah nampak pun. Kalau nama pelik tidak pernah didengari, jangan bantu mereka.

“Yang menunggang ini, mereka bukan sahaja menunggang nama Palestin, tapi mereka menunggang kesusahan ibu tunggal, anak yatim yang sebenarnya memerlukan bantuan.

"Disebabkan kalian, anda telah jejaskan nama mereka yang benar-benar sampaikan bantuan," tegas beliau.

Nadir berkata demikian ketika menjadi panelis program Wacana Sinar siri ke-258 yang bertajuk 'Israel Negara Apartied?' yang disiarkan secara langsung menerusi platform dalam talian Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi panelis ialah Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir dan personaliti televisyen, Fedtri Yahya, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Nadir menjelaskan, sebanyak RM2.5 juta kutipan sumbangan yang pertama telah disalurkan kepada Gaza, manakala RM1 juta diberikan kepada Al-Aqsa.

Menurutnya, terdapat sebanyak 1,300 buah rumah di Gaza yang telah musnah menyebabkan keluarga tersebut terpaksa mencari dan menyewa di rumah yang lain.

Selain itu, tambah Nadir, sekitar 40,000 penduduk di situ terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana tidak selamat.

“Dalam 40,000 orang ini, mereka memerlukan sekitar AS$100 untuk setiap keluarga termasuk bantuan pek makanan yang akan bertahan 10 hari serta bantuan lain seperti tilam, selimut, susu dan lampin bayi.

“Manakala di Al-Aqsa, RM1 juta yang disumbangkan itu digunakan untuk membaik pulih beberapa projek di sana seperti klinik, selain bantuan untuk yuran guaman untuk mereka yang telah ditangkap dan zakat kepada keluarga yang disasarkan," katanya.