18 pekerja ditahan larikan perancah besi bernilai RM1.4 juta

Sebahagian perancah besi yang berjaya ditemui semula di dua lokasi berasingan stor penyimpan barang dalam serbuan pada Rabu.
Sebahagian perancah besi yang berjaya ditemui semula di dua lokasi berasingan stor penyimpan barang dalam serbuan pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Seramai 18 pekerja termasuk tiga wanita ditahan kerana melarikan peralatan perancah besi (scaffolding) bernilai RM1.4 juta dalam dua serbuan berasingan pada Rabu.

Kesemua suspek berusia 19 hingga 61 tahun itu ditahan di dua lokasi stor penyimpanan barang di Paka, Terengganu dan Gebeng, Pahang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, perbuatan pekerja yang beralamat syarikat di Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu terbongkar selepas syarikat berkenaan membuat laporan audit dalaman dan mendapati sejumlah 335 tan perancah besi bernilai RM1.4 juta telah berkurangan sebelum membuat laporan polis pada Selasa lalu.

Menurut beliau, perancah besi milik syarikat itu dipercayai diambil mereka di sebuah tapak projek pembinaan di Sungai Udang sebelum melarikannya dengan menggunakan 12 buah treler ke lokasi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka menjalankan modus operandi dengan menawarkan perkhidmatan menyewa dan menjualkan perancah besi itu kepada syarikat pembinaan lain.

"Pada tahun 2009 syarikat Sdn Bhd ini pernah mendapat kontrak di sebuah tapak projek di Sungai Udang sebelum tamat kontrak pada 2021.

"Selepas tamat, mereka membuat audit dalaman mendapati bilangan perancah tidak mencukupi dan mendakwa ia telah diseleweng oleh pekerja mereka yang dipertanggungjawabkan menjaga perancah besi itu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian perancah besi yang berjaya ditemui semula di dua lokasi berasingan stor penyimpan barang dalam serbuan pada Rabu.
Sebahagian perancah besi yang berjaya ditemui semula di dua lokasi berasingan stor penyimpan barang dalam serbuan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, serbuan di lokasi juga menemui 50,818 unit perancah besi dipercayai milik syarikat itu membabitkan berat 250 tan yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Menurut Abdul Majid, ini merupakan rampasan terbesar membabitkan kes pecah amanah bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Melaka setakat tahun ini.

"Antara peralatan yang ditemui pada serbuan berkenaan termasuk peralatan asas perancah besi ialah pelbagai jenis tube, double couples, swivel coupler, metal deck, tangga aluminium, base plate, joint pin, beam clamp, coupler basket dan wooden board.

"Polis juga telah mengenal pasti dan sedang menjejaki dalang utama aktiviti pecah amanah itu serta beberapa suspek lain yang masih bebas bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan direman selama sehari untuk disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.