Video gangguan seksual tular: Pemandu e-hailing sudah ditahan polis

Lesen PSV pemandu Grab terlibat gangguan seksual dibatal - Anthony Loke
Lesen PSV pemandu Grab terlibat gangguan seksual dibatal - Anthony Loke
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun berhubung kes cabul kehormatan terhadap seorang wanita warga Vietnam yang tular menerusi video di media sosial sejak Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan polis diterima pada Rabu daripada mangsa yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh pemandu e-hailing di dalam kenderaan yang digunakan suspek.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah menahan lelaki berkenaan di sekitar Johor Bahru pada hari yang sama serta merampas barang bukti termasuk dua telefon bimbit dan sebuah kenderaan Perodua Bezza berserta kunci serta alat kawalan jauh.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis bagi permohonan reman.

“Mahkamah membenarkan tempoh reman selama tiga hari sehingga 7 Februari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, tular sebuah video yang memaparkan seorang pemandu e-hailing melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.

Video yang dirakam sendiri oleh penumpang terbabit menunjukkan pemandu berkenaan menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita tersebut, namun ditepis mangsa.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu Grab yang melakukan gangguan seksual ke atas penumpang di Johor Bahru, baru-baru ini.

Tegas beliau, pembatalan PSV bermaksud pemandu berkenaan tidak lagi dibenarkan berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis Johor menahan lelaki 26 tahun atas kes cabul terhadap wanita Vietnam
  • Laporan polis diterima dari mangsa yang didakwa dicabul oleh pemandu e-hailing
  • Barang bukti seperti dua telefon bimbit dan sebuah Perodua Bezza dirampas
  • Mahkamah membenarkan reman suspek selama tiga hari
  • Menteri Pengangkutan arah JPJ batalkan Lesen PSV pemandu tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!