X

Kindly register in order to view this article
!

1,895 staf, pelajar UniSZA jalani ujian saringan Covid-19

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
A
A

KUALA NERUS – Dianggarkan seramai 1,895 pelajar dan kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan penularan jangkitan wabak itu di universiti berkenaan.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, saringan bersasar itu membabitkan 1,438 staf, 430 pelajar di kampus Gong Badak dan 27 pelajar kampus perubatan di Kuala Terengganu.

“Mengikut maklumat dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), ujian saringan secara bersasar ini bermula semalam (Selasa) dan dijangka diteruskan lagi esok (Khamis) dan hari seterusnya,” katanya dalam dalam sidang akhbar secara dalam talian pada Rabu.

Menurut Hassan Basri Awang, UniSZA telah bertindak secara proaktif dengan mengenal pasti semua kontak rapat kepada staf, pelajar yang positif dan meminta mereka kuarantin kendiri selain maklumat diserahkan kepada PKD.

“Pelajar di asrama dan dikenalpasti sebagai kontak rapat telah dikuarantin dan kesihatan mereka dipantau setiap hari. Pemantauan kesihatan turut dibuat secara harian kepada pelajar yang bukan kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata, UniSZA juga memutuskan agar semua kakitangan bekerja dari rumah bermula 16 sehingga 30 Mei, manakala pelajar meneruskan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara dalam talian sebagai langkah kawalan.

Katanya, sanitasi secara menyeluruh turut dilakukan oleh pasukan terlatih Covid Buster UniSZA di ketiga-tiga kampus UniSZA iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Kampus Perubatan bermula 15 Mei lalu.

“Kita juga menjaga kebajikan pelajar yang berada di ketiga-tiga kampus antaranya bantuan makanan percuma sepanjang tempoh kuarantin, kemudahan pinjaman komputer riba untuk PdP dan data internet percuma kepada semua pelajar.

“Semua warga UniSZA diharap sentiasa mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh pihak KKM dan UniSZA,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan UniSZA diarahkan tutup selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Mei berikutan terdapat 16 kes positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan sementara itu membabitkan kampus Gong Badak di Kuala Nerus bagi memberi laluan kepada kerja-kerja nyah kuman dan pengesanan kontak rapat semua kes positif.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!