Masjid UniSZA lokasi perdana Malaysia #QuranHour Terengganu


Masjid UniSZA menjadi lokasi perdana bagi program tahunan Malaysia #QuranHour di Terengganu yang akan diadakan serentak pada 30 Ogos depan. - Foto Facebook Pusat Islam UniSZA
Masjid UniSZA menjadi lokasi perdana bagi program tahunan Malaysia #QuranHour di Terengganu yang akan diadakan serentak pada 30 Ogos depan. - Foto Facebook Pusat Islam UniSZA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi lokasi perdana bagi program tahunan Malaysia #QuranHour di Terengganu yang akan diadakan serentak pada 30 Ogos depan.

Pengurus Rumah Ngaji Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, penganjuran acara itu di Terengganu pada kali ini menampilkan beberapa kelainan antaranya dimulakan dengan Festival Quran (Quran Fest) selama tiga hari sebelum acara kemuncak yang dijadualkan pada Rabu depan.

"Kali ini kita buat beberapa kelainan melalui kerjasama dengan Pusat Islam UniSZA di mana Masjid UniSZA menjadi antara lokasi hot spot program ini.

"Di samping itu kita juga akan adakan Festival Quran selama tiga hari berturut-turut bermula pada 28, 29 dan 30 Ogos ini.

Malaysia #QuranHour di UniSZA menampilkan Ustaz Abdul Hadi sebagai qari sementara pentadabur pula adalah Coach Jamil Wahab.
Malaysia #QuranHour di UniSZA menampilkan Ustaz Abdul Hadi sebagai qari sementara pentadabur pula adalah Coach Jamil Wahab.

"Pelbagai aktiviti yang akan dimuatkan sempena festival itu antaranya bengkel tajwid, tadabur, forum, ceramah perdana dan qiamullail," katanya.

Menurut Nur Aziemah, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 peserta yang akan menyertai prgram Malaysia #QuranHour di Masjid UniSZA pada 30 Ogos nanti.

Dalam pada itu, Nor Aziemah memberitahu, acara kali ini turut memberi fokus terhadap penyertaan golongan muda.

Katanya, penglibatan golongan muda amat perlu bagi memastikan program seumpama itu terus diimarahkan pada masa akan datang.


Festival Quran akan diadakan selama tiga hari di Masjid UniSZA sebelum acara kemuncak Malaysia #QuranHour berlangsung di lokasi sama pada 30 Ogos ini.
Festival Quran akan diadakan selama tiga hari di Masjid UniSZA sebelum acara kemuncak Malaysia #QuranHour berlangsung di lokasi sama pada 30 Ogos ini.

"Kita harap program ini akan mendapat sambutan hangat dan penyertaan dalam kalangan golongan muda di Terengganu," jelasnya.

Malaysia #QuranHour yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini bakal membawa agenda anak muda dan peranan orang dewasa dalam misi 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.

Acara yang memasuki tahun kesembilan itu juga akan bersiaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari.