Sukan Asia: 40 atlet jalani ujian doping

Azura. Foto Bernama
Azura. Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 40 atlet negara yang bakal menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, terlibat dalam ujian doping yang dikendalikan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bulan lepas.

Pengarah ADAMAS, Azura Abidin berkata, pihaknya telah menjalankan ujian secara rawak kepada atlet daripada beberapa jenis sukan yang berpotensi menyumbang pingat buat negara pada temasya empat tahun sekali itu.

“Kami telah mengambil sampel daripada atlet terlibat dan keputusan ujian doping dijangka diketahui pada pertengahan September sebelum mereka berangkat ke Hangzhou.

“Saya mengharapkan agar tiada atlet negara yang sangkut ujian doping dijalankan kami,” katanya.

Sekiranya terdapat atlet disahkan positif doping, Azura berkata mereka yang terlibat tidak dibenarkan beraksi di Sukan Asia dan boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga empat tahun, bergantung kepada bahan terlarang diambil.

Bagaimanapun, beliau berkata atlet masih mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada jawatankuasa panel pendengaran ADAMAS.

Seramai 415 orang, merangkumi 292 atlet (191 lelaki dan 101 wanita) dan 123 jurulatih serta pegawai bakal mewakili kontinjen negara ke Sukan Asia kali ini.

Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditangguh susulan COVID-19 tahun lepas dijadual bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: