X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan ambil ivermectin untuk rawat, cegah Covid-19'

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar tidak mengambil produk Ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Ahad berkata, ia berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan mahupun pencegahan wabak itu.

Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

Beliau menjelaskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan atau pencegahan wabak berkenaan dan ia telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19’ pada 3 Mei lepas.

Selain itu, beliau berkata Agensi Ubatan Eropah (EMA) juga belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut.

Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel yang bertajuk ‘WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials’ pada 31 Mac lepas.

“Oleh itu, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, KKM tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata KKM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik Covid-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan Covid-19 yang diluluskan untuk kegunaan rakyat di negara ini.

Dr Noor Hisham turut menegaskan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah yang paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!