'Jangan ambil 'kredit' hasil usaha orang bawahan'

Jauteh (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Sapii dan Azmi bagi jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Jauteh (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Sapii dan Azmi bagi jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah diingatkan supaya tidak mengambil nama hasil daripada usaha anggota bawahan atau rakan setugas yang lain.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun yang membuat teguran itu secara terbuka berkata, hanya orang yang melakukan hasil kerjanya saja berhak mendapat 'kredit' apa yang telah diusahakannya.

"Kita hendaklah bersatu, tidak elok dan tidak bagus amalan mengambil kredit atau bakti yang dilaksanakan orang lain untuk kepentingan peribadi.

"Jadi Insya-ALLAH sepanjang saya menjadi Pesuruhjaya Sabah ini, saya akan pastikan bahawa yang mendapat kredit itu layak mendapatnya," katanya ketika berucap selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas empat jawatan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Isnin.

Dalam ucapannya turut berkata, beliau kurang gemar dengan sikap pegawai atau ketua yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian.

"Saya tidak suka orang-orang yang melaksanakan sesuatu hasil daripada kerja pegawai bawahannya tetapi dipersembahkan kepada saya bahawa itu adalah kerjanya.

"Ini adalah sikap pegawai atau ketua yang tidak bertanggungjawab, ini adalah milik orang yang berhak untuk mendapat kredit," tegasnya.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar beliau memaklumkan pihaknya merancang untuk membina dua lagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di kawasan berhampiran sempadan negara iaitu di Kalabakan dan Nabawan.

"Kita sedang merancang untuk membinda dua IPD baharu dan perkara ini telah dipanjangkan kepada pihak atasan serta mendapat respons yang cukup positif.

"Perancangan yang kita buat ini memandangkan dua IPD yang dicadangkan adalah terletak di kawasan bersempadan iaitu antara Malaysia dan Indonesia.

"Pembinaan belum dilaksanakan tetapi lokasi tanah telah kita kenal pasti dan sedang berbincang dengan pihak Jabatan Tanah untuk mendapatkan tanah berkenaan untuk dibangunkan menjadi IPD," ujarnya.

Jauteh sebelum itu menyaksikan serah terima tugas Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Sapii Ahmad kepada SAC Azmi Abd Rahim bagi jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Asisten Komisioner Polis (ACP)

Wan Badrul Hisham Wan Osman kepada Tuan Nik Md Zain Nik Omar bagi jawatan Ketua Jabatan Pengurusan.

Sementara itu, Deputi Superintendan Leo Sojie kepada Asisten Komisioner Datin Laila Sagir bagi jawatan Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi dan Superintendan G Moses Govindarajoo kepada Deputi Superintendan Iyda Ismail sebagai pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.