X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak elok untuk imej Liga-M

Laporan Sukan Sinar pada Khamis. Gambar: Mohd Sadek
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu mencari formula yang lebih berkesan dalam memastikan isu tunggakan gaji dalam kalangan pemain Liga Malaysia (Liga-M) tidak berlarutan sehingga memberi imej negatif kepada industri bola negara pada masa depan.

Malah jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, dua entiti tersebut juga perlu lebih berani mengambil tindakan tegas terhadap kelab Liga-M yang bermasalah dalam pembayaran gaji pemain bagi mengembalikan imej positif industri bola sepak negara.

“Jika kita tengok laporan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai Tabung FIFA Untuk Pemain Bola Sepak, persatuan pemain menghantar 147 kes bagi memohon bantuan tabung berkenaan yang merupakan kes kedua tertinggi dunia selepas Greece (291 kes).

“Untuk peringkat Asia pula kita boleh sifatkan sebagai juara tunggak gaji pemain liga tempatan kita. Situasi ini sebenarnya tidak elok untuk imej Liga Malaysia dalam beberapa perkara khasnya penajaan, penyokong dan imej liga kita di mata FIFA,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Jumaat.

FIFA sebelum menerusi laman webnya pada Rabu mengeluarkan kenyataan mengenai penubuhan Tabung FIFA Untuk Pemain Bola Sepak (FIFA FFP) yang merupakan inisiatif badan induk bola sepak dunia itu dan kesatuan pemain bola sepak profesional dunia (FIFPRO) dalam membantu pemain terjejas akibat masalah tunggakan gaji.

Menerusi tabung tersebut yang memperuntukkan sebanyak AS$16 juta (RM66 juta), persatuan pemain negara ini telah menghantar sebanyak 147 kes bagi memohon bantuan yang merupakan kes kedua tertinggi dunia selepas Greece iaitu 291 kes.

Dalam pada itu Mohd Sadek memuji tindakan proaktif persatuan pemain memohon dana Tabung FIFA FFP bagi meringankan beban pemain yang terkesan akibat kegagalan kelab masing-masing menjelaskan pembayaran gaji.

“Bantuan yang disalurkan kepada pemain menerusi tabung ini boleh disifatkan sebagai token sementara meringankan masalah pemain yang terjejas, namun

FAM dan MFL selepas ini perlu mengkaji semula polisi atau dasar sedia ada bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan pada masa depan.

“FAM dan MFL perlu meminimumkan masalah isu tunggakan gaji secara lebih menyeluruh walaupun kita akui kedua-dua entiti tersebut sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menyelesaikan ini. Pendek kata sekiranya masalah tunggakan gaji ini berlarutan singkir sahaja kelab dari saingan Liga-M,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!