Ruang enjin feri terbakar, 305 penumpang selamat

Ruang enjin feri berkenaan terbakar sejurus berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah. - Foto FB Jabatan Laut Malaysia
Ruang enjin feri berkenaan terbakar sejurus berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah. - Foto FB Jabatan Laut Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 305 penumpang sebuah feri yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi berdepan detik cemas apabila ruang enjin feri berkenaan terbakar dalam kejadian jam 4 petang, Selasa.

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, ruang enjin feri berkenaan terbakar sejurus berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah, di sini.

"Sebuah jentera Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah yang tiba awal di lokasi telah membantu memadamkan kebakaran sebelum sebuah lagi jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah tiba bagi membantu mengawal kebakaran.

"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 4.40 petang dan pemantauan telah dilakukan sehingga 5.30 petang," katanya.

Jabatan itu turut memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua 305 penumpang dipindahkan ke feri penumpang lain pada 4.30 petang yang meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi pada 5 petang.

"Tiada tumpahan minyak yang berlaku dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara telah menubuhkan satu pasukan siasatan bagi menyiasat punca kejadian," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: