Feri terbakar, 79 penumpang selamat

Keadaan feri yang hangus terbakar. - Foto Maritim Malaysia
Keadaan feri yang hangus terbakar. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah feri yang membawa seramai 79 penumpang dari Pulau Redang menuju ke Terminal Feri Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu dilaporkan terbakar pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten (M) Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kejadian berlaku di kawasan pesisir pantai Pulau Bidong sekitar jam 2.40 petang.

Menurutnya, Maritim telah menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) di Kuantan berkaitan kejadian berkenaan.

"Sejurus menerima maklumat, bot Perkasa 1248 dan bot Pengawal 16 yang sedang melakukan tugas rondaan di sekitar perairan tersebut terus bergerak ke lokasi kejadian bagi menyelamat mangsa yang terlibat.

"Kesemua 79 mangsa feri berkenaan telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke feri Laguna P8 milik Laguna Redang Resort," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Khairulanuar berkata, punca kebakaran feri tersebut masih dalam siasatan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6223657," katanya.