Polis minta salur maklumat jika pulang beraya, ziarah Aidilfitri

Ramli (kiri) membuat pemeriksaan kenderaan pada SJR di Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berdekatan Ladang Tuan Mee di sini pada Selasa.
Ramli (kiri) membuat pemeriksaan kenderaan pada SJR di Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berdekatan Ladang Tuan Mee di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis jika mempunyai maklumat sebarang aktiviti pulang beraya ke kampung dan ziarah Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kawasan kejiranan yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkan perkara itu supaya tindakan tegas dapat diambil kepada mana-mana pihak yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

Menurutnya, sekiranya terdapat aduan, polis akan terus membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah pada musim Aidilfitri ini.

"Kita bersiap sedia untuk berkawal 24 jam dan pada masa sama orang awam boleh bantu polis menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti tidak mematuhi SOP," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berdekatan Ladang Tuan Mee di sini pada Selasa.

Ramli berkata, pihaknya juga menubuhkan satu pasukan khas dalam memastikan pematuhan SOP dapat diikuti.

"Orang ramai terutama jiran tetangga sama ada di kawasan perumahan dan kampung boleh terus menyalurkan maklumat secara terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor," katanya.

Mengulas mengenai SJR di Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berdekatan Ladang Tuan Mee, Ramli berkata, hasil pemeriksaan selama sejam ke atas kira-kira 200 kenderaan mendapati tiada kesalahan dilakukan sepanjang pemeriksaan terbabit.

"Kita dapati semua individu mematuhi SOP dan sebahagiannya mengemukakan surat kebenaran bagi urusan pekerjaan, malah kebanyakan mereka tinggal di kawasan kediaman di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Malah, tiada kes cubaan hendak merentas daerah dan negeri untuk pulang berhari raya dan sebagainya dikesan dalam SJR," jelasnya.

Katanya, polis akan terus memperketatkan kawalan di tiga 'laluan tikus' yang berpotensi menjadi laluan alternatif untuk merentas daerah dan negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Tiga laluan itu ialah di Ladang Tuan Mee yang menjadi penghubung antara daerah Kuala Selangor ke Sungai Buloh, Gombak dan Selayang.

"Selain itu laluan menghala ke Bukit Tagar yang merupakan sempadan daerah Hulu Selangor dan laluan alternatif di Kampung Bukit Hijau menghala ke Puncak Alam," ujarnya.