[VIDEO] Selangor tutup kaedah penternakan babi tradisional cemar sungai, alam sekitar - Amirudin
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil langkah awal untuk menamatkan sepenuhnya kaedah penternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang terbukti mencetuskan pencemaran, sebelum beralih kepada konsep penternakan moden yang diusahakan oleh pihak swasta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu pencemaran akibat aktiviti penternakan di Tanjung Sepat, Kuala Langat ditangani segera.
Menurutnya, penternakan tradisional dikenal pasti sebagai punca utama pencemaran bau, air dan alam sekitar.
“Justeru, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penutupan operasi terbabit sebelum pemindahan ke tapak baharu dilaksanakan.
“Selagi kita tidak menamatkan pengurusan tradisional ini, selagi itulah pencemaran akan berterusan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Selasa.
Amirudin menegaskan, penternakan moden yang dicadangkan oleh pihak swasta akan dilaksanakan di Bukit Tagar dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan negeri, selain menggunakan tanah yang dibeli oleh pengusaha sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan di lokasi baharu tertakluk kepada kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan sistem kumbahan tidak memberi kesan kepada sungai dan kawasan sekitar.
“Fokus utama kita adalah mengelakkan pencemaran berulang. Jika sistem kumbahan dapat berdiri sendiri dan tidak memberi risiko kepada alam sekitar, barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mempercepatkan proses pemindahan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar, Hulu Selangor selaras dengan titah Sultan Selangor.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti seramai 69 pengusaha aktif di kawasan itu dan pemindahan akan dilaksanakan segera pada tahun ini.
“Daripada 69 pengusaha yang telah kita kenal pasti, selebihnya sudah tidak diberikan lesen, jadi kita akan keluarkan mereka secepat mungkin,” jelas beliau.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Sultan Selangor menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Baginda bertitah, operasi sedia ada perlu dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor akan menamatkan sepenuhnya kaedah penternakan babi secara tradisional di Tanjong Sepat, Kuala Langat
- Langkah ini diambil untuk mengatasi pencemaran yang terjadi akibat aktiviti penternakan itu
- Operasi penternakan akan dipindahkan ke tapak baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor dengan konsep penternakan moden
- Penternakan moden tidak melibatkan peruntukan kewangan kerajaan negeri dan menggunakan tanah yang dibeli pengusaha sendiri
- Pemindahan aktiviti penternakan babi ini selaras dengan titah Sultan Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

