Tiada permohonan rasmi anjur ‘Glamping With Pride’ - Amirudin
Aktiviti glamping secara umum tidak menjadi masalah sekiranya dijalankan secara selamat dan sesuai untuk keluarga, namun menegaskan isu sebenar adalah tema yang dibawa oleh penganjur.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor setakat ini belum menerima sebarang maklum balas atau permohonan rasmi daripada penganjur berhubung program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa dianjurkan oleh kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan dijadual berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga belum mengesahkan sebarang permohonan permit diterima bagi penganjuran program berkenaan.
“Setakat ini, saya belum mendapat sebarang maklum balas sama ada penganjur ada mengemukakan permohonan rasmi atau sebaliknya.
“Namun, PBT telah diarahkan untuk membuat pemantauan dan meneliti perkara ini dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Selasa.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah terhadap aktiviti glamping secara umum sekiranya ia dijalankan secara selamat dan sesuai untuk keluarga, namun menegaskan isu sebenar adalah tema yang dibawa oleh penganjur.
“Kalau glamping biasa bersama keluarga itu tidak menjadi masalah, janganlah hukum glamping, tapi masalahnya adalah tema.
“Aktiviti glamping yang selamat dan sesuai boleh dilakukan oleh semua pihak, tetapi bukan dengan tema yang menjurus kepada perkara songsang dan tidak dapat diterima,” katanya.
Amirudin berkata, penolakan terhadap program itu turut dizahirkan oleh pelbagai pihak termasuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pemimpin politik, badan berautoriti agama dan komuniti setempat.
Beliau menambah, beberapa laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat cubaan meneruskan program berkenaan.
“Saya percaya titah Tuanku (Sultan Selangor) juga bukan bersifat rigid, tetapi tegas menolak aktiviti yang menjurus kepada perkara songsang.
“Penolakan ini bukan hanya daripada kerajaan negeri, malah suara rakyat dan komuniti juga jelas menentangnya,” tambah beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa penganjur program ‘Glamping With Pride’ tetap akan meneruskan program itu minggu depan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai sebuah program retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor agar mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup LGBT di negeri ini.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan di Selangor.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor belum menerima maklum balas atau permohonan rasmi tentang program 'Glamping With Pride' yang dianjurkan di Hulu Langat
- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengatakan PBT belum mengesahkan sebarang permohonan permit untuk program tersebut
- Amirudin menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan aktiviti glamping secara umum namun menentang tema program tersebut
- Penolakan terhadap program itu dizahirkan oleh Sultan Selangor, pemimpin politik, badan berautoriti agama dan komuniti setempat
- Sultan Selangor menitahkan MAIS dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti LGBT di negeri tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


