Orang ramai mula serbu pasar, beli keperluan Aidilfitri

Orang ramai mula berpusu-pusu mendapatkan barangan basah semenjak jam 7 pagi lagi.
Orang ramai mula berpusu-pusu mendapatkan barangan basah semenjak jam 7 pagi lagi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kurang 24 jam sahaja lagi, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Justeru, orang ramai mula berpusu-pusu ke pasar berdekatan bagi mendapatkan keperluan sempena hari lebaran itu.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Seksyen 6 di sini mendapati, penduduk sekitar mula mengunjungi bagi mendapatkan barangan basah semenjak jam 7 pagi lagi.

Orang ramai mula berpusu-pusu ke pasar berdekatan bagi mendapatkan keperluan sempena hari lebaran itu.
Orang ramai mula berpusu-pusu ke pasar berdekatan bagi mendapatkan keperluan sempena hari lebaran itu.

Menurut Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, 73, kepulangan anak- anak ke rumahnya pada Aidilfitri kali ini membuatkan beliau membuat persiapan lebih meriah untuk menyambutnya.

"Alhamdulillah, tahun ini, anak saya yang sudah berkahwin akan beraya bersama-sama. Jadi semua akan berkumpul di rumah termasuklah 11 cucu.

"Barangan basah tu memang saya beli secukup mungkin sebab nak buat rendang, lemang dan ketupat. Saya tak suka beli yang jenis siap, lebih berminat masak sendiri bagi rasa sikit kemeriahannya.

"Saya dan keluarga sebenarnya memang sudah menyiapkan semua hidangan itu. Cuma datang ke pasar sebab ada nak tambah sikit barang bagi tampung untuk raya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Zamrudah Ahmad Rashidi, 50 an berkata, sebanyak RM300 dibelanjakan bagi membeli keperluan basah sempena Aidilfitri.

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata tersebut, dia lebih memilih kesederhanaan dalam menyambut perayaan berkenaan.

"Saya beli sekadar perlu sahajalah untuk untuk nak masak ketupat dan rendang, memadailah berbanding tahun sebelum yang agak banyak sikit perbelanjaan," kata Pensyarah di Institut Perguruan (IPG) Lembah Pantai itu.

Dalam pada itu, Mohd Farid Hussin, 44 menganggap persiapan raya dapat dibuat dengan sedikit tenang kerana tiada kejutan seperti tahun lalu.

"Alhamdulillah, sempat juga untuk beli keperluan seperti daging dan sayur. Sebelum ini takut juga kalau tiba-tiba kita sambut awal," ujar anak kelahiran Johor itu.