Ledakan kes harian letakkan Malaysia kembali dalam keadaan ‘genting’

Dengan kes harian baharu sebanyak 4,498 yang diumumkan KKM setakat pukul 12 tengah hari pada Jumaat, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak kepada 34,789 kes.
Dengan kes harian baharu sebanyak 4,498 yang diumumkan KKM setakat pukul 12 tengah hari pada Jumaat, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak kepada 34,789 kes.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan koronavirus maut Covid-19 yang semakin mengancam komuniti dengan ledakan kes harian baharu mutakhir ini sehingga melebihi 4,000 kes, meletakkan Malaysia kembali dalam keadaan ‘genting’.

Dengan kes harian baharu sebanyak 4,498 yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat pukul 12 tengah hari pada Jumaat (7 Mei 2021), jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak kepada 34,789 kes.

Jumlah kes kumulatif pula sudah melepas paras 430,000 iaitu 432,425 kes.

Selangor dari 1 Mei hingga 7 Mei (semalam) menyumbang jumlah kes harian terbanyak. Hari ini, Selangor mencatat 1,424 kes, diikuti Sarawak 750 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 436 kes.

Kes harian baharu melebihi 3,000 dicatat pada 6 Mei (3,551), 5 Mei (3,744 kes), 4 Mei (3,120 kes) dan 2 Mei (3,418 kes).

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, turut menunjukkan semakin banyak kluster baharu dikesan.

Hari ini sebanyak 19 buah kluster baharu dilaporkan dengan kluster tempat kerja 10 kes, kluster komuniti empat (4) kes, kluster keagamaan tiga (3) kes dan dua kluster pendidikan.

Pada Rabu 5 Mei 2021 sahaja, sebanyak 20 kluster baharu dilaporkan dengan lapan (8) kluster tempat kerja, enam (6) kluster komuniti, empat (4) kluster pendidikan dan dua (2) kluster keagamaan.

Artikel Berkaitan:

Setakat 7 Mei 2021, masih terdapat 425 kluster yang masih aktif dan 102 kluster menambah kes baharu.

Jumlah kes pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi turut kritikal dan setakat hari ini 7 Mei, Dr Noor Hisham dalam paparan Facebook peribadi beliau pada Jumaat menyatakan, negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke ICU, iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula. Sebanyak 295 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut beliau, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.

Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus. Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU. Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa.

Ledakan kes harian baharu yang bagaimanapun tidak dikaitkan sebagai 'Gelombang Keempat’, membuatkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri/daerah.

Pada 4 Mei, PKP diisytiharkan untuk enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Klang, Petaling, Kuala Langat, Gombak dan Sepang, berkuatkuasa dari 6 Mei hingga 17 Mei 2021.

PKP turut diisytiharkan untuk tempoh 7 Mei hingga 20 Mei 2021, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, Johor; Mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama, Perak; di 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut), Terengganu.

Malaysia turut menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ia sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Malaysia mencatat kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1. Mengumumkan perkara ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata di samping itu, negara juga mengesan sebanyak 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351, UK B.1.1.7 (8 kes), dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50,000 pada Gelombang Ketiga Covid-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Setakat ini, di bawah Gelombang Ketiga Malaysia hanya sekali mencatat kes harian baharu tiga angka iaitu pada 29 Mac 2021, sebanyak 941 kes. - Bernama