Tiga kampung di Pasir Mas, Kelantan kena PKPD

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan bermula 9 hingga 22 Mei ini - Foto fail Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan bermula 9 hingga 22 Mei ini - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 9 Mei hingga 22 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksana di tiga perkampungan itu ekoran berlaku peningkatan kes secara mendadak dan kadar positif Covid-19 yang tinggi.

Beliau berkata, sehingga kini, ketiga-tiga lokaliti merekodkan 120 kes positif iaitu 42 di Kampung Paya Ular, 26 di Kampung Tualang dan 52 di Kampung Bechah Palas.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di perkampungan itu.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan pengesanan awal kes serta mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran," katanya dalam kenyataan mengenai PKP pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan ditamatkan mengikut jadual pada Jumaat.

Beliau berkata, PKPD di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah pula ditamatkan esok, juga mengikut jadual.

"Di Sekolah Menengah Sains Banting, sebanyak 990 ujian saringan dijalankan dengan 113 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal manakala kes terakhir direkod pada 3 Mei iaitu empat kes... selain itu, saringan awal ke atas 166 pelajar daripada kumpulan tidak berisiko mendapati kesemuanya negatif," katanya.

Beliau berkata, di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pula, sebanyak 866 ujian saringan dijalankan dan 431 daripadanya disahkan positif Covid-19 namun berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan.

Mengulas kes ingkar PKP, beliau berkata, 486 individu ditahan pada Khamis dengan 473 dikompaun manakala 13 lagi direman dengan kesalahan tertinggi gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (183), aktiviti pusat hiburan (136) dan tidak memakai pelitup muka (73).

Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan yang dikenal pasti di bawah sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

"Langkah-Langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkat di lapangan," katanya.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama, 21 pendatang asing tanpa izin diberkas dan 10 kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng selain 161 bot atau kapal dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Mengenai saringan wajib pekerja asing pula, beliau berkata, 140 warga asing telah menjalani ujian saringan pada khamis dan daripada jumlah itu, seorang didapati positif Covid-19. - Bernama