X

Kindly register in order to view this article
!

3,000 individu mohon rentas negeri di Perak sehari

Mior Faridalathrash Wahid
A
A

IPOH - Polis Perak menerima kira-kira 3,000 permohonan setiap hari daripada orang ramai untuk merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun tidak semua permohonan itu diberikan kebenaran kerana setiap hari dianggarkan 70 hingga 100 permohonan yang akan ditolak terutama bagi tujuan aktiviti sosial.

Menurutnya, kebanyakan permohonan diterima atas alasan kebajikan, perniagaan dan pasangan jarak jauh namun semua permohonan akan dibuat secara teliti sebelum diluluskan.

"Kita memang tidak membenarkan aktiviti sosial seperti balik ziarah orang tua, menyambut perayaan tetapi kalau untuk tujuan kebajikan kita benarkan seperti kematian, perubatan, menjemput anak di asrama atau kampus serta sebab-sebab yang kita rasa perlu.

"Tapisan permohonan lebih ketat dan semakan teliti sebelum diluluskan. Ada juga kita tolak sebab alasan kebajikan tetapi sebenarnya tidak berkaitan. Kematian hanya membabitkan individu rapat tetapi setakat sepupu jauh-jauh kita tak benarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Perak di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara, di sini pada Jumaat.

Mior Faridalathrash berkata, menjelang musim perayaan dan cuti sekolah, pihaknya akan memperketatkan lagi permohonan merentas negeri bagi mengekang pergerakan keluar masuk kerana kes terus meningkat.

"Kita akan cuba mengekang individu tertentu yang berusaha keluar dan masuk ke Perak. Macam yang saya selalu beritahu, Perak ini duduk di tengah-tengah. Utara ada sempadan, kiri, kanan di selatan pun ada," katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mengurangkan pergerakan dan bertanggungjawab memastikan negara dapat mengekang jangkitan Covid-19.

Menurutnya, antara usaha yang akan dilakukan bagi mengesan individu merentas negeri melalui semakan jumlah bayaran tol di setiap plaza tol.

Menurutnya, jika didapati jumlah bayaran terlalu banyak dan setelah diperiksa tidak mempunyai kebenaran merentas negeri, tindakan akan terus diambil ke atas individu tersebut.

"Salah satu kaedah ialah melakukan pemeriksaan kenderaan dan strategi melihat jumlah bayaran tol. Kalau ada surat OK, kalau tidak ada kita akan keluarkan kompaun dan arahkan mereka berpatah balik," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai yang ingin melakukan ziarah sempena Aidilfitri supaya mengikuti peraturan ditetapkan tanpa perlu pemeriksaan polis dari rumah ke rumah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!