X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pemain Kelantan FC positif Covid-19

Ab Ghani - Foto Bernama
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua pemain Kelantan FC positif Covid-19 menerusi ujian calitan yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, dua pemain Kelantan FC itu terbabit kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya.

"Kedua-dua pemain Kelantan FC itu yang telah didapati positif menerusi Ujian Calitan RTK Antigen dan PCR yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Isnin, 3 Mei lalu. Pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor 2 mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

"Sementara pemain-pemain lain tidak berdepan masalah di mana status mereka adalah negatif Covid-19.Ini kerana naratif kuarantin yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 10 hari dan tempoh tersebut telah melepasi tarikh jadual perlawanan mereka pada Jumaat ini.

"Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif Covid-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, MFL telah mengumumkan perlawanan membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat ini terpaksa ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam masa sama, pihak badan pengendali Liga Malaysia itu akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.

“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Selangor jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas-petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut mengumumkan bahawa empat perlawanan Liga Super dan Liga Premier akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan.

Empat perlawanan itu melibatkan dua aksi Liga Super di antara UiTM FC dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu dan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Manakala dua lagi perlawanan yang akan berlangsung tanpa penonton adalah aksi Liga Premier di antara Skuad Projek FAM-MSN dengan Terengganu FC II di Stadium UiTM Shah Alam pada Jumaat dan Selangor FC 2 menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.

Berdasarkan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKP dilakukan di beberapa daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang bermula pada 6 hingga 17 Mei 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Dengan mengambil kira ketetapan terbaharu itu, tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!