PKP: Orang ramai harap SOP masjid tidak diperketat

MKN diharap tidak terlalu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti. - Gambar hiasan
MKN diharap tidak terlalu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan orang awam bersedia dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 6 Mei ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pihak berpendapat pengumuman PKP merupakan pelaksanaan biasa memandangkan masyarakat sudah berdepan dengan penguatkuasaan arahan itu beberapa kali sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E Lembah Subang, Mohd Azmi Yaacob berkata, pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan itu namun Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap tidak terlalu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti.

"Kalau boleh janganlah dikurangkan jumlah jemaah di dalam masjid-masjid melibatkan kawasan yang dikenakan PKP," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, seorang pengurus penyelenggaraan, M P Kumara Devan, 40, berkata, pengumuman kerajaan itu tidak mengejutkan memandangkan kes harian Covid-19 di Selangor merekodkan peningkatan sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Kumara berkata, kerajaan sewajarnya melaksanakan PKP di semua daerah di negeri ini bagi memastikan penularan wabak berkenaan dapat dikawal dengan sebaiknya.

Gambar dari kiri: Zulkifli Ramesh Abdullah, Mohd Azmi
Gambar dari kiri: Zulkifli Ramesh Abdullah, Mohd Azmi

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Zulkifli Ramesh Abdullah, 48, berkata, walaupun pendapatannya dijangka terjejas dengan pelaksanaan PKP, namun penguatkuasaan arahan itu perlu dilakukan susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, sebagai pemandu teksi, pihaknya juga risau kerana turut terdedah kepada risiko bahaya wabak Covid-19 berikutan membawa pelbagai penumpang setiap hari.

"Saya cuma harapkan kerajaan dapat kawal ketat warga-warga asing di kawasan terlibat dengan PKP kerana golongan inilah yang selalunya menjadi punca penyebaran wabak berkenaan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daerah terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Semua penduduk di daerah terlibat tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah kecuali atas urusan kecemasan.