Maxis sekat penghantaran, penerimaan SMS URL bermula 2 Mei

No Image Caption
A
A
A

SYARIKAT telekomunikasi gergasi, Maxis Bhd (Maxis) memaklumkan bahawa pihaknya akan menyekat sebarang penghantaran dan penerimaan kandungan pautan pelokasi sumber seragam (URL) menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 2 Mei.

Jelas Maxis, perkara tersebut adalah selaras dengan arahan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang dikeluarkan kepada semua syarikat telekomunikasi (telco) baru-baru ini.

“Objektif perkara ini adalah untuk mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Ia terpakai kepada khidmat penghantaran atau penerimaan SMS daripada nombor mudah alih tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, terdapat banyak penipuan dalam talian berlaku apabila pengguna tersalah menekan pautan tersebut dan kemudian memberi maklumat peribadi sehingga akhirnya menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu, Maxis menambah, meskipun pautan URL berkenaan tidak dapat dihantar menerusi SMS, namun pengguna masih boleh menggunakan platform lain seperti di aplikasi media sosial bagi medium penghantaran.

“Diharap pengguna tidak menekan klik pada mana-mana pautan yang dihantar daripada mereka yang tidak dikenali dan hanya log masuk ke e-dompet atau akaun perbankan dalam talian anda melalui URL rasmi dan aplikasi mudah alih,” ujarnya.