X

Kindly register in order to view this article
!

Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo

Jun Hoong berjaya meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 selepas mengungguli pusingan awal acara 10m platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021.
A
A

BEKAS juara dunia, Cheong Jun Hoong akhirnya layak ke Sukan Olimpik Tokyo Julai hadapan, selepas mengungguli pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021 pada Selasa.

Kejayaan Jun Hoong itu berikutan mengumpulkan 345.30 mata untuk layak ke peringkat separuh akhir, pada acara yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, di Jepun pada Rabu.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Facebook mereka hari ini mengesahkan slot Olimpik Tokyo itu.

“Tahniah!, Cheong Jun Hoong telah berjaya meraih satu slot lagi ke temasya Sukan Olimpik 2020 dalam acara 10m platform wanita,” seperti yang dimuat naik dalam akaun Facebook tersebut.

Seorang lagi penerjun kebangsaan, Pandelela Rinong juga turut layak ke separuh akhir selepas menduduki tempat keempat dengan 325.00 mata.

Sementara itu, Wendy Ng Yan Yee berpeluang untuk memberikan Malaysia emas pertama mereka di Piala Dunia itu, apabila akan beraksi dalam peringkat akhir acara 3m papan anjal individu wanita, lewat Selasa.

Kejayaan itu sebagai mengubat kekecewaan kegagalan pasangan Pandelela-Leong Mun Yee memenangi pingat selepas hanya menduduki tempat keempat dalam acara akhir 10m platform seirama, pada Ahad.

Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Mei adalah kejohanan kelayakan terakhir untuk menempah tiket ke Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila beliau menjadi penerjun wanita Malaysia pertama yang memenangi gelaran dunia dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Terjun Dunia, di Budapest, Hungary di 2017, setahun selepas memenangi pingat perak Olimpik di Rio bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!