Kartel tender: SPRM masih pantau, kerjasama dengan MOF

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memantau kegiatan kartel tender atau monopoli perolehan yang mungkin berlaku dalam jabatan kerajaan yang lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, agensi itu turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk menangani kes itu.

Azam berkata, SPRM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) supaya proses perolehan monopoli itu dapat dilihat dengan lebih teliti dan dapat diatasi.

"Kita memang memantau jabatan lain jika ada maklumat wujud kartel atau monopoli ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan SPRM Tahun 2021 pada Selasa.

Pada 5 April lalu, SPRM menemui sejumlah RM3.5 juta wang tunai di rumah ketua sindiket kartel tender kerajaan dalam serbuan yang dilakukan.

Menurut SPRM, sindiket itu difahamkan telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu dan kemewahan yang ditunjukkan oleh ketua sindiket yang bergelar Datuk itu amat luar biasa.

Modus operandi kumpulan kartel projek itu dilakukan dengan cara membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Kesemua syarikat berkenaan dipercayai akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender dan sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional atau penyata kewangan untuk meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek.

Ditanya mengenai sebarang kes mahupun tangkapan terbaru berkaitan kes tersebut, Azam berkata, SPRM masih belum lagi dapat membuat pengumuman berkenaan perkara tersebut.

“Belum lagi kita boleh umumkan tetapi kita sedang memantau perkara ini,” katanya.