X

Kindly register in order to view this article
!

Ternak ikan tilapia dalam longkang

Mohd Farid Abdul Hamid, 39, melakukan rutin hariannya dengan memberi makanan ikan tilapia.
A
A

KUANTAN - Kariah Surau Raudhah AL-Faiziin di Taman Beserah Ria menjadikan longkang di taman perumahan itu sebagai kolam untuk tempat membela ikan tilapia sebagaimana yang dilakukan masyarakat di negara Jepun terhadap longkang di kawasan penempatan mereka.

Longkang sepanjang 50 meter yang berada berhampiran surau itu dijadikan kolam dengan memelihara 1,200 ikan tilapia sebagai permulaan.

Uniknya, air yang dialirkan ke longkang sedalam 1.5 meter itu menggunakan air bukit kerana surau tersebut berhampiran dengan Bukit Tokki.

Pengerusi surau terbabit, Nazaruddin Mahmud, 60 berkata, usaha menternak ikan itu dimulakan sejak sebulan lalu, selepas melihat longkang terbabit dilihat tidak berfungsi.

Ikan tilapia diternak dalam longkang dengan menggunakan air jeram dari Bukit Tokki.
Ikan tilapia diternak dalam longkang dengan menggunakan air jeram dari Bukit Tokki.

Menurutnya, selepas mengadakan perbincangan dengan kariah, mereka sepakat untuk memanfaatkan longkang terbabit dengan mencontohi negara Jepun.

"Kita tahu bila sebut longkang orang bayangkan tempat kotor tetapi longkang di sini bersih dan kita menggunakan air bukit 100 peratus bagi tujuan itu.

"Dalam tempoh tiga bulan lagi, ikan tilapia ini boleh dijual, dan kita bercadang hasil jualan ikan terbabit akan diinfaqkan ke dalam tabung surau," katanya ketika ditemui di Taman Beserah Ria pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nazaruddin turut memaklumkan benih ikan tilapia itu telah diberikan secara percuma oleh kenalannya daripada Terengganu.

"Kita tidak menyangka ada yang ingin menyumbang benih ikan, bila kita bersungguh-sungguh untuk menjadikan longkang sebagai kolam ternak ikan.

"Jadi, kita rasa bersyukur kerana ada yang tampil membantu. Kita juga dimaklumkan bahawa individu itu akan menambah lagi 1,000 benih ikan untuk ditempatkan dalam longkang ini," katanya yang berhasrat untuk menggunakan 10 meter lagi baki longkang yang tidak digunakan itu.

Beliau berkata, sebelum idea ternakan ikan dalam longkang dilaksanakan, pihaknya telah membina taman lestari di persekitaran surau terbabit.

Longkang sepanjang 50 meter yang berada berhampiran surau itu dijadikan kolam dengan memelihara 1,200 ikan tilapia sebagai permulaan.
Longkang sepanjang 50 meter yang berada berhampiran surau itu dijadikan kolam dengan memelihara 1,200 ikan tilapia sebagai permulaan.

Tambahnya, banyak pokok-pokok herba, pelbagai sayur-sayuran seperti cili, bendi dan terung di tanam bagi memanfaatkan tanah terbiar.

Jelasnya, hasil daripada tanaman itu dijual kepada orang ramai dan diinfaqkan ke dalam tabungan masjid.

"Kita tidak mengenakan bayaran yang tetap, tetapi aktiviti penjualan kita lebih kepada 'bayar seikhlas hati'.

"Kaedah ini dibuat bagi membolehkan kita membina beberapa kemudahan yang masih terbengkalai kerana masalah kekurangan dana," ujarnya yang merupakan pesara tentera.

Ditanya mengenai penjagaan ikan yang diternak dan usaha mengekalkan kebersihan air longkang, beliau berkata, terdapat dua kariah yang memantau dan memastikan kebersihan air longkang.

Menurutnya, mereka ini akan melakukan tugas secara bergilir-gilir bagi memastikan kawasan ternakan ikan tilapia sentiasa bersih.

"Malahan, mereka akan memberi makanan ikan, selain menguruskan kebun komuniti yang terdapat di sekitar kawasan terbabit," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!