Pusat Tahfiz Ittifaqiyah: Waris dipanggil beri keterangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 waris termasuk ibu, bapa dan kakak kepada mangsa kebakaran menyayat hati Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dua tahun lalu, dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mereka ialah Nor Azlin Abd Aziz, Fatimah Jaafar, Lela Mohd Noh, Hartini Abd Gani, Norliza Md, Kamizan Yusof, Md Amin Abd Ghani, Yunizar Shaari, Norhayati Khalid, Saidah Ahamad, Hudah Abd Ghani, Siti Salfarina Ismail dan Mashawani Mohamed Shahid, yang hadir sebagai saksi pendakwaan ke-40 sehingga ke-52.

Nor Azlin adalah ibu kepada Mohd Afiq Hakimi Hairul Azwan; Fatimah ibu kepada Mohd Nizamuddin Nasrun; Lela ibu kepada Muhammad Hasrullah Ismail; Hartini ibu kepada Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan; Norliza kakak kepada Mohd Yusuf Md; Kamizan, ibu kepada Muhammad Zatullah Roslan; dan Md Amin, bapa kepada Muhammad Daniel.

Selain itu Yunizar, ibu kepada Muhammad Hazim Ahmad Nor; Norhayati, ibu kepada Amiel Asyraaf Abd Rashid; Saidah, ibu Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi; Hudah, ibu Muhammad Haikal Abdullah; Siti Salfarina, ibu Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, dan Mashawani, ibu kepada tiga mangsa yang merupakan adik-beradik iaitu Muhammad Shafiq Haikal, Muhammad Hafiz Iskandar dan Muhammad Haris Ikhwan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah, kesemua saksi ditanya bilakah mereka mengetahui mengenai kejadian kebakaran itu dan mereka memaklumkan pada pagi 14 September 2017, melalui panggilan telefon oleh anggota keluarga dan rakan.

Saksi-saksi itu yang dipanggil secara berasingan ke bilik bicara turut ditunjukkan rekod kemasukan mangsa ke pusat tahfiz, salinan bedah siasat mangsa yang turut memaparkan gambar mangsa serta gambar bangunan pusat tahfiz.

Mereka yang kebanyakannya kelihatan tenang mengecamkan kesemua rekod dan gambar berkenaan kecuali Mashawani yang kehilangan tiga anak serentak dilihat menangis dan terdiam sebelum mengecamkan gambar tersebut.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - Bernama