Anwar dakwa beliau kemuka ‘jalan keluar’ tarik balik ICERD

Protes besar-besaran ke atas cadangan ratifikasi ICERD turut memberi impak terhadap kerajaan PH pada tahun 2018.
Protes besar-besaran ke atas cadangan ratifikasi ICERD turut memberi impak terhadap kerajaan PH pada tahun 2018.
A
A
A

PETALING JAYA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau merupakan individu yang mengemukakan ‘jalan keluar’ bagi membolehkan proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) ditarik balik pada 23 November 2018.

Jelas beliau, perkara penarikan semula ratifikasi ICERD tidak pernah dibincangkan dalam kerajaan PH mahu pun dalam mesyuarat kabinet dengan ia juga tidak boleh ‘sekonyong-konyongnya’dibawa ke sidang Parlimen.

Dalam keadaan begitu, beliau menjelaskan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin politik bukan sahaja daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi parti-parti lain dalam blok pembangkang.

“Soal ratifikasi ICERD yang menimbulkan kegelisahan orang Melayu dan rasa senang bagi golongan elit bandar, saya beri jalan keluar. Saya kemukakan jalan keluar, ajak ia ditangguhkan dan kita bincang di khalayak ramai. Menerusi sesi penerangan ‘townhall meeting’.

“Untuk itu, sekurang-kurangnya kalau kita tolak sekalipun, kita tahu sebab apa dan setuju pun kita tahu sebab apa,” ujar beliau melalui satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Petaling Jaya.

Pada 24 Oktober 2018, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerajaan PH ketika itu, P Waytha Moorthy mendedahkan kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019 selaras dengan manifesto PH.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuat kuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Berikutan itu, lebih 55,000 peserta terdiri pelbagai parti politik menyertai Himpunan Bantah ICERD di Masjid Jamek bagi mendesak kerajaan menarik semula usaha meratifikasi konvensyen itu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, kerajaan PH akhirnya tidak meratifikasi ICERD, kerana berpandangan konvensyen itu tidak diberikan hak membezakan layanan di antara kaum, walaupun taraf mereka tidak sama.

Mengulas lanjut mengenai usaha menarik balik ratifikasi ICERD, Anwar turut mendedahkan tindakan beliau itu tidak menyenangkan kumpulan ‘order’ lama dalam kerajaan PH selain segelintir golongan elit bandar.

Hal ini disebabkan golongan itu menganggap langkah beliau sebagai cubaan ‘bertolak ansur’ dengan rakyat yang bimbang akan impak ICERD.

“Ini tidak menyenangkan pihak penguasa ketika itu dan ada juga golongan elit liberal mengatakan saya bertolak ansur.

“Tetapi memang ada kenyataan orang Melayu di desa bimbang dengan ICERD. Kita pula hendak anggap cadangan ini, cadangan baik,” katanya.