MAIK dekat dengan asnaf

A
A
A

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ditubuhkan pada 17 Safar 1334 Hijrah, bersamaan 24 Disember 1915, melalui satu perisytiharan oleh KDYMM Sultan Muhammad Ke-IV.

Penubuhannya bertujuan untuk menasihati KDYMM Al-Sultan selaku ketua agama berkenaan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Kelantan. Ini bermakna, MAIK sudah berusia 104 tahun pada tahun ini. Ia kini diterajui oleh Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (Tengku Mahkota Kelantan) selaku Yang Dipertua.

Antara fungsi dan tanggungjawab MAIK adalah dalam urusan kutipan dan agihan zakat. Melalui urusan secara langsung dan tidak langsung dengan pihak MAIK, saya dapat lihat MAIK sentiasa berusaha gigih bagi memastikan agihan zakat sampai kepada asnaf dan golongan lain yang berhak menerima zakat.

Pihak NGO dan media turut memainkan peranan yang penting dalam membantu MAIK mengenal pasti serta memberi laporan berkenaan asnaf.

Sekalung tahniah kepada MAIK atas Anugerah Inovasi Terbaik kategori (Agihan) Zakat melalui Sistem Bantuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Online dalam Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar).

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, sempena Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Dan Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 di Putrajaya pada akhir November 2018.

Menurut Dr. Nik Mohd Azlan, sejak 2013 sehingga hujung Oktober 2018 seramai 97,388 orang telah menggunakan sistem IPT Online. Daripada jumlah tersebut, seramai 64,486 orang (66.2 peratus) telah menerima bantuan. Pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran boleh memohon bantuan one-off sebanyak RM2,500 bagi program ijazah dan RM1,700 bagi program diploma.

Dahulu, pelajar yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran perlu mengisi borang secara manual. Ketika itu, ada pemohon yang terpaksa menunggu dari enam bulan hingga setahun untuk menerima bantuan. Melalui inovasi yang telah dilakukan, penyaluran bantuan dapat dibuat dalam tempoh kurang daripada tiga bulan. Pengiktirafan yang diterima membuktikan bahawa MAIK sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Kutipan zakat MAIK terus meningkat sejak lapan tahun lepas dengan RM94.1 juta (2011), RM113.1 juta (2012), RM134.2 juta (2013), RM144.6 juta (2014), RM161.9 juta (2015), RM162.7 juta (2016), RM179.3 juta (2017) dan RM183 juta pada tahun 2018.

Ini hasil usaha semua pihak khasnya petugas kaunter dan para pegawai yang memberi suntikan motivasi untuk benar-benar melaksanakan tugas dengan niat memudahkan rukun Islam ketiga ini bagi para pembayar zakat seterusnya mengagihkan pula zakat kepada asnaf yang berhak.

Agihan zakat Maik juga menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun, iaitu sebanyak RM80.3 juta (2011), RM100.8 juta (2012), RM134.4 juta (2013), RM150.2 juta (2014), RM196.7 juta (2015), RM173.1 juta (2016), RM185 juta (2017), dan RM181.9 juta (2018). Sungguhpun agihan melebihi jumlah kutipan sejak 2013, MAIK tetap berusaha menjalankan tanggungjawab mengagihkan zakat kepada asnaf yang berhak. Setiap defisit ditampung dengan pendapatan dan harta Baitulmal.

Walaupun jumlah kutipan dan agihan zakat semakin bertambah dari setahun ke setahun, pihak MAIK terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan jumlah kakitangan yang sama. Saya percaya ini dicapai melalui inovasi dan budaya kerja yang baik.

Saya juga tertarik dengan kesungguhan MAIK untuk menjadi telus tentang kutipan dan agihan zakat.

Sebagai contoh, orang awam boleh ke laman web MAIK untuk melihat jumlah kutipan dan agihan zakat semasa melalui “Online Executive Information System”. Pada 16 Februari 2019, jumlah kutipan zakat semasa adalah sebanyak RM10,532,158.44 manakala jumlah agihan zakat semasa sebanyak RM15,911,887.29; hampir RM6 juta defisit. Jumlah ini dikemas kini setiap hari kecuali hari minggu. Alhamdulillah, sekali lagi syabas dan tahniah kepada MAIK.

Memandangkan Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang termiskin di Malaysia, saya amat berharap agar lebih ramai lagi umat Islam membayar zakat kepada MAIK demi membantu lebih ramai golongan asnaf di Kelantan.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan