Enam pelajar matrikulasi dikecualikan bayar kompaun

Mohd Akmal (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Selama pada Selasa.
Mohd Akmal (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Selama pada Selasa.
A
A
A

LARUT - Enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka telah dikecualikan daripada bayaran.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkara itu diputuskan selepas kesemua mereka mengemukakan rayuan pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, perbincangan yang dibuat bersama Pengarah Kesihatan Negeri dan Pegawai Kesihatan Kampar berjaya mencapai kata sepakat bahawa keenam-enam pelajar terbabit tidak perlu membayar denda berkenaan.

“Saya berjumpa sendiri dengan Pegawai Kesihatan Kampar dan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri, jadi pelajar-pelajar ini tidak perlu membayar apa-apa pun.

"Kes ini telah selesai dan saya harap ia tidak dipanjangkan lagi bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar berkenaan yang sedang menduduki peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Selama di sini pada Selasa.

Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selam menyifatkan, keputusan yang dicapai itu adalah langkah terbaik dan sangat membantu pelajar-pelajar berkenaan yang datang dari keluarga asnaf.

"Saya sendiri telah berjumpa dengan seorang bapa pelajar terlibat untuk memberi kata-kata semangat dan menyatakan perkara ini telah diselesaikan oleh kerajaan negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Kesihatan Perak siasat aduan pelajar dikompaun RM1,500

Artikel Berkaitan:

Kompaun bukan aniaya pelajar, masih boleh buat rayuan: Exco Perak

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pada 19 April lalu, tular di Twitter apabila ada beberapa akaun yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun RM1,500 kerana melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka di dalam kawasan kolej.

Ciapan di Twitter itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan siasatan mengenainya telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Perak.

Perkara yang membuatkan ramai berasa kesal adalah pelajar tersebut langsung tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka dan pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.