Kompaun bukan aniaya pelajar, masih boleh buat rayuan: Exco Perak

Gambar tular yang dikongsi di media sosial menyatakan pegawai KKM yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada pelajar.
Gambar tular yang dikongsi di media sosial menyatakan pegawai KKM yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada pelajar.
A
A
A

BATU GAJAH - Tindakan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan kompaun ke atas enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak pada Isnin bukan satu penganiayaan.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sebaliknya pegawai penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun tersebut hanya menjalankan tugas memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 dipatuhi.

Menurutnya, kesemua pelajar berkenaan masih boleh merayu untuk pengurangan jumlah kompaun berkenaan.

"Kepada pelajar tersebut jangan lah risau, di pihak kerajaan negeri (kita) prihatin dengan apa yang berlaku dan siasatan sedang dijalankan. Antara proses yang boleh mereka lakukan adalah dengan membuat rayuan bagi mengurangkan kos tersebut.

"Saya yakin jumlah pengurangan seminimum mungkin (diberikan) dan mampu dibayar oleh pihak pelajar dan jika mereka tidak mampu, Insya-ALLAH pihak saya juga boleh membantu untuk membayarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Bazar Ramadan Dataran Taman Orkid, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Sementara itu, Mohd Akmal meminta semua pihak menghormati tugas agensi penguatkuasaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Saya nasihatkan semua rakyat Malaysia supaya bertenang. Perkara ini boleh diselesaikan tambahan sekarang bulan Ramadan, bersangka baiklah kepada pihak Kementerian Kesihatan yang bekerja keras untuk memutuskan Covid-19 supaya kita boleh hidup kembali seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Berilah sokongan padu kepada enam pelajar tersebut dan anggota KKM yang bekerja keras," katanya.

Pada Isnin tular di media sosial Twitter apabila ada beberapa akaun yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur pematuhan standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup mulut di dalam kawasan kolej.

Perkara yang membuatkan ramai berasa kesal adalah pelajar tersebut langsung tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka dan pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.

Terdapat juga video menunjukkan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.

Ciapan di Twitter itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan siasatan mengenainya telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Kesihatan Perak siasat aduan pelajar dikompaun RM1,500