Sedekad di jalan raya, pemandu Queen Express sifar dadah

KOTA BHARU - Pengendali pengangkutan awam, Queen Express mencatatkan sifar penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu selepas sedekad beroperasi.
Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Suffian Daud berkata, kejayaan itu hasil ujian saringan air kencing secara berkala yang dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga bulan sekali bagi memastikan setiap kakitangan mematuhi peratuan yang ditetapkan.
"Setakat ini selepas 10 tahun beroperasi kesemua 90 pemandu kami yang berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun bebas daripada dadah," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa malam.
Sebelum itu beliau menerima pengiktirafan Sijil Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang disampaikan oleh Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu, Muhammad Ismail kepada Queen Express di sini.
Menurut beliau, kerjasama berterusan dengan AADK Kota Bharu akan terus dilakukan bagi memastikan rekod bersih itu terus dikekalkan.
Katanya, ia bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna mengenai kualiti perkhidmatan Queen Express.
Mohd Suffian memberitahu, pihaknya akan membanteras habis-habisan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan pemandu bas berkenaan.
"Bukan itu sahaja kami juga mencatatkan sifar kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu.
"Selain AADK, kita turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan corak pemanduan pemandu kita selamat dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya.
Ringkasan AI
- Queen Express mencatatkan sifar penyalahgunaan dadah di kalangan pemandunya sejak sedekad beroperasi
- Ujian saringan air kencing dilakukan setiap dua hingga tiga bulan sekali untuk memastikan pemandu bebas dadah
- Semua 90 pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun bebas daripada dadah
- Queen Express menerima pengiktirafan Sijil Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu
- Membanteras penggunaan bahan terlarang dan mencatatkan sifar kemalangan jalan raya adalah antara usaha untuk memastikan pemanduan selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

